Pasar Ria Satay Amal

Fuh. Lama tak menulis. Banyak urusan yang perlu diselesaikan (padahal sibuk berfacebook). Hehe. Alhamdulillah, pada hari ahad lepas telah berlangsung satu majlis gilang-gemilang anjuran komuniti melayu (singapura, malaysia. indonesia tak pasti ada ke tak). Pasar Ria Satay Amal. Itulah lebih kurang nama program ini. Program yang bertujuan untuk mengutip dana bagi pembinaan masjid melayu pertama di Melbourne.

Setibanya aku di melbourne pada hari jumaat, aku terus mengikut Zaim menyertai latihan dikir barat. Asalnya hanya sekadar melihat latihan tersebut tapi alih-alih menyertai pula kumpulan dikir itu. Mujur koreografinya mudah untuk diikuti.

Oh terlupa. Pada pasar ria itu, selain jualan seakan pasar malam, turut ada ialah kuliah zuhur, kuliah isra' mikraj serta beberapa persembahan. Dan salah satu persembahan itu ialah dikir barat di mana aku menyertainya. Cuak jugala. Tak sampai 4 jam pun berlatih. Nasib baik ia sekadar sebuah persembahan bukan satu pertandingan. Namun, persembahan pun haruslah dengan ikhlas dan bersungguh. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sebelum persembahan, kami bersedia di luar dewan. hanya sehelai baju putih nipis yang dipakai. Kesejukan yang ditahan hanya Allah yang mengetahui. Puas menari-nari untuk memanaskan badan.



Akhirnya, nama kumpulan kami dipanggil. Maka, berdikirlah kami dengan seronoknya lantas mencipta sejarah selaku kumpulan pertama berdikir di bumi Melbourne. Agak banyak kesalahan yang aku lakukan ketika persembahan tetapi semuanya tidak kelihatan dengan jelas memandangkan aku di barisan belakang.

Kami mendapat tepukan gemuruh ketika persembahan. Mungkin orang di sini sudah lama tidak mendengar dikir barat kot. Alhamdulillah, lagu Pesan Emak berjaya disampaikan. Seusai persembahan, kami bergambar beramai-ramai sebelum mula mencari makanan lantaran kelaparan.

Ketika sedang melihat-lihat gerai yang ada, tiba-tiba aku mendengar namaku disebut. "Ariff, belilah. Satu dolar je". Ah. Pelik. Aku belum berkenalan dengan siapapun lagi dari kaum Hawa di sini. Aku perhatikan wajah dari mana suara itu datang. "Amalina?", soalku. "Ye, Amalina la tu", pantas dijawab oleh seorang rakannya.

Teman ketika sekolah rendah dahulu kini bertemu semula di bumi Melbourne. Tidaklah aku berbual panjang dengannya memandangkan kesibukannya menjual juadah di situ. Sekadar bertegur sapa.


Selepas kuliah Isra' Mikraj, gerombolan penduduk Bandar bergerak bersama-sama. Kami menuju ke sebuah masjid untuk menunaikan solat maghrib. Setelah itu, kami membeli-belah seketika di Brunswick sebelum pulang menaiki tram.

KURANG 48 JAM

Kurang 48 jam lagi, InsyaAllah, penerbangan Malaysia Airlines akan berleas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Lapangan Terbang di Melbourne. Dan antara penumpangnya, InsyaAllah diriku. Perjalanan mengambil masa sekitar 8 jam dan InsyaAllah akan tiba di sana jam 7 pagi waktu melbourne. Doakanlah agar perjalanan ini dirahmati dan diberkatiNya. Semoga memperoleh kejayaan dunia dan akhirat dan semoga kejayaan itu hadir buatku dan juga buatmu. Amin

SEBUAH PERKHABARAN

Perkhabaran itu tiba
Tika aku kian terleka
Mujur
Mujur aku masih terjaga
Kekal hati terikat bersama

Perkhabaran itu tiba
Tikaku kan pergi meninggalkannya
Jauh
Jauh jarak memisahkan aku dan dia
Namun kuharap hatiku dan hatinya tidak ternoda

Perkhabaran itu tiba
Saat hampirku melupakannya
Saat hampirku tewas dengan godaan dunia
Saat hati ini kian jauh denganNya
Entahlah
Mungkin ini ingatan dari yang Esa

HISHAMUDDIN VS MUHYIDDIN

Beberapa ketika dahulu, ketika Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein masih lagi menjawat jawatan Menteri pelajaran yang didukungnya sejak sekian lama, beliau mengatakan dasar PPSMI telah banyak meningkatkan pencapaian para pelajar dalam ketiga-tiga matapelajaran berkaitan iaitu bahasa inggeris, sains dan matematik. Kalau anda rajin menonton berita dalam televisyen dan anda sering mengikuti perkembangan semasa, pasti anda akan ingat dan sedar dengan kata-kata ini.

Alih-alih tadi ketika Menteri Pelajaran yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjustifikasikan pemansuhan PPSMI, beliau mengatakan sebaliknya. Ini disertai oleh fakta-fakta dan bukanlah sekadar percakapan kosong semata-mata (kata-kata Datuk Seri Hishamuddin ketika itu tidak bersandarkan mana-mana fakta). Maka, terserahlah kepada anda untuk menilai mana satu yang benar, mana satu yang salah. Atau mungkin bagi anda dua-dua salah dan dua-dua betul. yang pasti, mereka mewakili parti yang sama dan berbetulan pula datang dari negeri yang sama. Nah, baca berita di bawah.


K'jaan akui PPSMI banyak kelemahan

Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa dua subjek itu diajar dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003.

Menteri pelajaran juga berkata laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003.

"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya dalam sidang media khas mengumumkan pembatalan dasar tersebut mulai 2012.

Tambahnya, berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing di SJK Cina dan SJK Tamil.

Kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa ia tidak dapat diteruskan seperti dihasratkan, lapor agensi berita itu lagi.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," Muhyiddin dipetik berkata.

Menurutnya lagi, pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.

Selain itu, tambah Muhyiddin, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap kepetahan.

Katanya, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya seperti dilaporkan.

sumber : malaysiakini