TERKENANG TIKA ITU

Kumerenung ke luar jendela. Melihat sinaran purnama yang membalikkan cahaya dari sang suria. Kalau dirasakan sinaran suria itu pedih dan menyakitkan, tidaklah begitu sinaran sang purnama. Bahkan sinarannya cukup lembut, menyejukkan mata menenangkan jiwa.

Ah tiba-tiba ku teringat saat itu. Kami sama-sama bermandikan sinaran rembulan. Ditemani bintang-bintang malam yang berkerdipan. Ah saat itu. Masakan boleh berulang kembali. Di tengah kegelapan malam, kami membentang gulungan tikar. Menghempas diri di tengah padang yang luas. Menghirup udara segar dini pagi. Menggigil dengan embun pagi yang membeku. Kenangan bersama Mujahid, Aiman Kedah dan Shafiq confident

Kenangan itu mengheretku kepada memori yang lain. Saat bersama di ruang hadapan chaletku. Mengulangkaji pelajaran tak mengira waktu. Siang, malam, pagi, petang. Asalkan ada waktu, asalkan pendingin hawa sesejuk salju, pasti ada kami di situ. Haha. Meja-meja penuh dengan buku. Kenangan bersama Mujahid dan sesekali Aidid

Lalu kuteringat saat berhimpun di dataran berhadapan chaletku. Malam itu diisi dengan perbualan dan perbincangan. Masing-masing meluahkan coretan rasa, membongkar rahsia terpendam di jiwa. Pelbagai cerita yang masih kuingat dan sesekali tertawa sendiri pabila menjengah minda. Kenangan bersama Cuan, Aiman Kedah, We, Pie dan lain-lain.

Ah kenangan itu....

Sahabatku tiba dan mengucap bicara. Akan kenangan kami bersama. Cuba membuat suatu yang luar biasa. Tak pernah terfikir di fikiran sebelumnya. Nah, berjemaah isya' di gelanggang bola keranjang! Bukannya tiada jemaah di surau, tapi sengaja mencipta kelainan. Kenangan itu hampir kulupa. Mujur ada yang mengingatkannya. Kenangan bersama jejaka Batch 10 yang kucinta...

ENTAH APA

Sudah lamaku menyepikan diri dari penulisan. Sibuk dengan urusan. Keluar dengan kenalan. Melihat dan memerhatikan. Mendengar dan merasakan. Ah. Semua hanya alasan buat menutup kelemahan. Namun memang itulah fitrah manusia. Senantiasa mencari dan memberi alasan. Aku juga manusia bukan?

Entah apa hendakku katakan. Politik? Haha. Biarlah aku berehat sementara dari dunia ini.Aku ingin bebas menjadi seorang pemerhati yang neutral. Aku ingin kembali kepada cara asalku. Mendengar rintihan dan luahan insan yang tak berkemampuan. Insan yang kesempitan dan kesesakan. Namun tidakku sama sekali menuli dan memekakkan telinga akan jeritan mereka yang berkedudukan dan berjawatan.

Entah apa hendakku bicarakan. Bangsa dan agama? Dua perkataan yang seakan datang seiring menjengah setiap fikiran apabila salah satu kata diungkapkan. Pabilaku keluar, baru kulihat dan kusedar bahawa keduanya itu tak berkaitan. Tidak semua bangsa itu beragama yang sama. Tidaklah semua arab itu islam. Tidak pula semua inggeris itu kristian. Dan tidak pula semua cina itu Buddha. Mungkin di Malaysia sahaja mengaitkan keduanya namun itu tak mengapalah. Selaku pendengar, kudengar suara lantang membantah kewujudan atau dalam kata lain pengenalan diri menggunakan bangsa. Suara-suara ini cukup kuat menjerit mahukan identiti bangsa ini dihapuskan. Kuhairan. Kupelik. Tidakkah mereka sepatutnya berbangga dengan bangsa mereka yang mempunyai kegemilangan sejarah dan peradaban tamadun? Tidakkah mereka sepatutnya berbangga dengan bangsa mereka yang pernah menjelajah dan menguasai dunia? Tidakkah mereka sepatutnya berbangga dengan bangsa mereka yang mencorak dunia? Kufikir dan kurenung. Kutaksalahkan mereka kerana nyata mereka terperangkap dan terjerat dalam jerat ciptaan pemimpin-pemimpin di sekeliling mereka. Nyata mereka mahu menghilangkan identiti itu lantaran rasa tertindas dan tertipu. Entahlah. Yang nyata dan jelas, bukan salah menjadi suatu bangsa, malahan patut bergembira dan berbangga dengan keunikan dan kelainannya. Namun yang salah mereka yang menyebabkan bangsa itu berubah.

Entah apa hendakku luahkan. Toleransi? Di pusat pengajianku, terdiri megah sebuah bangunan surau yang baru. Kira-kira 200 orang mungkin boleh dimuatkan. Semua kos pembinaannya ditanggung oleh pihak universiti yang mana pihak pengurusannya bukanlah Islam. Entah apa agamanya. Kumemerhati dan melihat. Ada segolongan manusia, agama sama denganku, bangsa serupa denganku, menghina dan mencerca agama lain yang hendak mendirikan rumah ibadat mereka. Adakah ini terkandung dalam ajaran agamaku? Kubelek dan keselak. Nyata tidak. Syukur Alhamdulillah ia bukan ajaran agamaku. Bahkan agamaku menyuruhku menghormati rumah-rumah ibadat mereka. Maka yang berlaku itu ajaran siapa?

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan. Yang masalah kita selesaikan. Yang terbungkam kita suarakan. Yang marah kita redakan. Yang panas kita sejukkan. Moga tercapai sebuah impian dan harapan. Melihat kedamaian….

ALHAMDULILLAH

Alhamdulillah. Result dah keluar. Keputusannya tidaklah seperti yang didamba namun kukira setimpal dengan apa yang diusaha. Ah. Kukira bahkan keputusan itu bahkan jauh lebih dari usaha yang kucurahkan. Alhamdulillah. Syukur dengan kurniaan Yang Esa.

Dalam pada itu, betapa hatiku turut menangis mendengar berita-berita rakan-rakanku yang kurang berjaya. Ah. Bukan kurang berjaya pun. Berjaya sebenarnya cuma gagal memenuhi "requirement" sesetengah penaja yang meletakkan syarat yang terlalu tinggi. Apapun, semoga tabah dan sabar menempuh ujian ini. InsyaAllah, akan terbuka jalan untuk kalian nanti.

Kepada yang berjaya, tahniah diucapkan. Semoga terus istiqamah di negara orang. Cabaran di universiti ini memang lebih hebat. Diharap teguh dalam menempuh cabaran dan jangan sesekali leka. Pesanan buat diri.

2 KISAH - SAMA TAPI BERBEDA

KISAH 1

"Mak, ayah mana? Man rindu kat ayah. Dah setahun 352 hari Man tak jumpa ayah. Man rindu sangat-sangat. Tiap-tiap hari Man tengok gambar ayah. Man tenung. Man pergi kelas kawan-kawan semua cerita pasal ayah diorang. Man diam je. Man duduk. Bila Man dah tak tahan, Man lari keluar. Menangis sorang-sorang. Mana ayah mak?". "Man, ayah dah pergi. Allah lebih sayangkan dia. Man kenalah belajar menerima takdir ni."

KISAH 2

"Wahai abangku..ke mana ayah? Kusayang ayah..Kucinta ayah. Wahai abangku..Ke mana ayah? Kusayang ayah..Kucinta ayah...". Tak semena-mena airmataku menitis. Kuperhatikan adik yang sedari tadi asyik mendengar radio usang itu. Sementelah dia berpusing, lantas berlari dan memelukku. Tergamamku seketika. Namun apakan daya. Kami sama-sama menangis dan terus menangis. Hinggalah seketika pabila segalanya reda.

"Abang, ayah kat mana?" "Ayah ada sayang. Nanti minggu depan kita lawat ayah." "Kenapa ayah tak duduk sekali dengan kita?". "Ayah kena tahan polis sayang". "Apa salah ayah? Ayah kan baik. Selalu pergi masjid, baca quran. Tak pernah tengking mak. Tegur jiran-jiran". "Entahlah sayang, polis cakap ayah pengganas. Boleh menggugat keselamatan negara". "Apa yang ayah buat?" "Entahlah. Abang, emak, ayah sendiri pun tak tahu". "Habis tu ayah tak bela diri?" "Ayah tak boleh bela diri sayang". "Bila ayah nak keluar?" "Entahlah sayang. Hanya Tuhan yang tahu bila saatnya ayah akan keluar dari tahanan tu".


TAMAT KISAH

Sudah dengan kisah. Kisah yang realitinya berlaku tapi diolah kembali olehku. Dua buah kisah yang seakan-akan sama tapi berbeda. Perkara akhirnya sama, yakni tiadanya ayah tercinta berdampingan bersama. Namun, situasinya berbeza. Yang pertama, kehilangan ayah lantaran menyahut panggilan Ilahi. Dan yang kedua, gara-gara ditahan pihak berkuasa. Saya kira ramai yang sudah merasai situasi pertama. Saya sendiri belum lagi merasai situasi pertama ini dan saya kira saya masih belum cukup kuat untuk melaluinya. Mana tahu, saya yang pergi dahulu.

Namun, tidak ramai dan saya kira tidak ada dalam kalangan kita yang pernah melalui situasi kedua ini. Ayah masih ada, namun tidak dapat berjumpa. Ayah masih ada, namun terpaksa ibunda mengerah tenaga mencari sesuap sisa. Bukan gara-gara ayahnya tidak bertanggungjawab sebaliknya kerna ayahnya ditahan tanpa bicara. Mungkin kita boleh menerima jika ditahan atas kesalahan yang kita lakukan. Namun kita pasti tidak dapat menerima jika kita sendiri tidak tahu apa kesalahan yang kita lakukan. Mungkin kita dapat menerima jika ditahan selepas diberi ruang pembelaan yang adil. Namun kita pasti tidak dapat menerima jika ditahan tanpa diberi ruang untuk membuktikan kebenaran!

Fikir-fikir, renung-renungkan. Wallahua'lam

Pasar Ria Satay Amal

Fuh. Lama tak menulis. Banyak urusan yang perlu diselesaikan (padahal sibuk berfacebook). Hehe. Alhamdulillah, pada hari ahad lepas telah berlangsung satu majlis gilang-gemilang anjuran komuniti melayu (singapura, malaysia. indonesia tak pasti ada ke tak). Pasar Ria Satay Amal. Itulah lebih kurang nama program ini. Program yang bertujuan untuk mengutip dana bagi pembinaan masjid melayu pertama di Melbourne.

Setibanya aku di melbourne pada hari jumaat, aku terus mengikut Zaim menyertai latihan dikir barat. Asalnya hanya sekadar melihat latihan tersebut tapi alih-alih menyertai pula kumpulan dikir itu. Mujur koreografinya mudah untuk diikuti.

Oh terlupa. Pada pasar ria itu, selain jualan seakan pasar malam, turut ada ialah kuliah zuhur, kuliah isra' mikraj serta beberapa persembahan. Dan salah satu persembahan itu ialah dikir barat di mana aku menyertainya. Cuak jugala. Tak sampai 4 jam pun berlatih. Nasib baik ia sekadar sebuah persembahan bukan satu pertandingan. Namun, persembahan pun haruslah dengan ikhlas dan bersungguh. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sebelum persembahan, kami bersedia di luar dewan. hanya sehelai baju putih nipis yang dipakai. Kesejukan yang ditahan hanya Allah yang mengetahui. Puas menari-nari untuk memanaskan badan.



Akhirnya, nama kumpulan kami dipanggil. Maka, berdikirlah kami dengan seronoknya lantas mencipta sejarah selaku kumpulan pertama berdikir di bumi Melbourne. Agak banyak kesalahan yang aku lakukan ketika persembahan tetapi semuanya tidak kelihatan dengan jelas memandangkan aku di barisan belakang.

Kami mendapat tepukan gemuruh ketika persembahan. Mungkin orang di sini sudah lama tidak mendengar dikir barat kot. Alhamdulillah, lagu Pesan Emak berjaya disampaikan. Seusai persembahan, kami bergambar beramai-ramai sebelum mula mencari makanan lantaran kelaparan.

Ketika sedang melihat-lihat gerai yang ada, tiba-tiba aku mendengar namaku disebut. "Ariff, belilah. Satu dolar je". Ah. Pelik. Aku belum berkenalan dengan siapapun lagi dari kaum Hawa di sini. Aku perhatikan wajah dari mana suara itu datang. "Amalina?", soalku. "Ye, Amalina la tu", pantas dijawab oleh seorang rakannya.

Teman ketika sekolah rendah dahulu kini bertemu semula di bumi Melbourne. Tidaklah aku berbual panjang dengannya memandangkan kesibukannya menjual juadah di situ. Sekadar bertegur sapa.


Selepas kuliah Isra' Mikraj, gerombolan penduduk Bandar bergerak bersama-sama. Kami menuju ke sebuah masjid untuk menunaikan solat maghrib. Setelah itu, kami membeli-belah seketika di Brunswick sebelum pulang menaiki tram.

KURANG 48 JAM

Kurang 48 jam lagi, InsyaAllah, penerbangan Malaysia Airlines akan berleas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Lapangan Terbang di Melbourne. Dan antara penumpangnya, InsyaAllah diriku. Perjalanan mengambil masa sekitar 8 jam dan InsyaAllah akan tiba di sana jam 7 pagi waktu melbourne. Doakanlah agar perjalanan ini dirahmati dan diberkatiNya. Semoga memperoleh kejayaan dunia dan akhirat dan semoga kejayaan itu hadir buatku dan juga buatmu. Amin

SEBUAH PERKHABARAN

Perkhabaran itu tiba
Tika aku kian terleka
Mujur
Mujur aku masih terjaga
Kekal hati terikat bersama

Perkhabaran itu tiba
Tikaku kan pergi meninggalkannya
Jauh
Jauh jarak memisahkan aku dan dia
Namun kuharap hatiku dan hatinya tidak ternoda

Perkhabaran itu tiba
Saat hampirku melupakannya
Saat hampirku tewas dengan godaan dunia
Saat hati ini kian jauh denganNya
Entahlah
Mungkin ini ingatan dari yang Esa