Hajat di hati memang ingin turut sama turun berdemo yang diadakan sekitar Masjid Negara semalam. Membantah pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Namun apakan daya. Kolej bercuti pada hari Jumaat sedangkan demonstrasi berlangsung pada hari sabtu.
Tergelak seketika aku apabila menonton berita dan membaca akhbar. "Ribuan yang berhimpun berarak.., Hundreds of protesters marched..". Itulah antara madah yang dilontar, kata yang ditaip dalam televisyen dan akhbar. Sungguh ironi dengan gambar yang dipaparkan di mana ribuan umat berhimpun. Dan perlu diingat, himpunan ini berlangsung di tiga tempat lalu berarak ke satu arah. Maka jika satu tempat menghimpunkan ribuan umat sehingga jalan yang hitam kelihatan putih, apa jumlahnya jika tiga tempat? Ratusan? Kesan PPSMI mungkin menyebabkan para wartawan dan pembaca berita gagal mengira dengan betul.
Lembaran The Star terus aku selak. Tersentak seketika melihat komentar dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan yang mengatakan insan-insan yang pergi berdemonstrasi itu bukan pergi berdemonstrasi tapi "demo crazy". Aku merenung dan berfikir. Adakah A Samad Said demo crazy? Prof Nik Safiah Karim? Prof Hasan Ahmad? Dan ramai lagi pakar-pakar bahasa ini "demo crazy"?
Aku menjengah beberapa laman blog yang menyokong PPSMI ini. Membaca hujah-hujah yang dikemukakan. Antara hujah yang dikemukakan ialah betapa ia sewajarnya menjadi satu cabaran buat pelajar-pelajar di luar bandar. Bagi saya, hujah ini tersangatlah rapuh. Pertama, perlu kita fahami betapa jarak perbezaan antara pelajar luar bandar dan bandar dalam penguasaan bahasa inggeris. Dan isu ini perlu dilihat bukan dari sudut sikap pelajar itu sendiri tapi suasana dan kemudahan yang membentuk mereka. Saya kira tak perlu saya sentuh mengenai pelajar dalam bandar kerana saya kira anda sekalian lebih arif.
Pelajar luar bandar tidak mempunyai akses yang mencukupi kepada bahan-bahan bahasa inggeris. Anda mungkin katakan ini hanyalah sebagai alasan. Zaman sekarang sudah maju. Sudah moden. Gunalah internet! Jika ini yang anda hujahkan, nyata anda tidak memahami keadaan sebenar di luar bandar! Realiti sebenar yang mereka hadapi menidakkan kemampuan mereka untuk mendapatkan bahan-bahan ini. Bahan pertama : akhbar. Akses kepada akhbar berbahasa inggeris adalah amat sukar sekali di kawasan luar bandar. Bukan akhbar berbahasa inggeris sahaja sebenarnya, akhbar berbahasa Melayu pun cukup sukar untuk didapati. Ini hakikat. Ini realiti.
Bahan kedua : internet. Tidak dinafikan, pusat siber mula tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Begitu juga kemudahan makmal komputer di setiap sekolah. Saya kira lebih baik saya sentuh mengenai kemudahan makmal komputer di sekolah. Perlu difahami betapa para pelajar mempunyai masa yang terbatas untuk menggunakan kemudahan ini. Waktu kelas pastilah digunakan oleh para guru untuk mendidik para pelajar menguasai kemahiran komputer maka yang tinggal adalah luar waktu kelas yang sudah pasti jangka waktunya pendek atau lebih malang lagi makmal komputer itu sudah dikunci!
Maka tinggallah para pelajar kepada pilihan yang kedua iaitu pusat-pusat siber. Umum mengetahui pusat-pusat siber ini sudah pastilah mengenakan caj atas setiap perkhidmatan yang dikenakan. Dan inilah masalahnya! Para pelajar ini tidak berkemampuan untuk menggunakan perkhidmatan ini! Ke sekolah duit diberi ibu bapa sekadar cukup untuk membayar tambang bas sekolah, makanan dibawa bekal! Tambah parah, pusat-pusat siber ini hanya bertapak di "bandar di luar bandar". Ini hakikat yang pahit namun tetap perlu ditelan.
Kalau ke pusat siber pon tidak berkemampuan, apatah lagi untuk pergi ke tuisyen-tuisyen bahasa inggeris! Tiga isu di atas ini menjadi satu perbezaan yang jelas yang perlu ditangani terlebih dahulu oleh pihak yang bertanggungjawab sebelum tiba-tiba menukar sesebuah sistem. Aku pernah menjadi seorang guru sementara. Saja mengajar kerana bosan. Aku juga pernah menjadi pelajar. Belajar sains dan matematik dalam bahasa melayu. Realitinya, belajar dalam bahasa melayu pun sukar difahami. Bagaimana agaknya generasi selepasku yang belajar sains dan matematik yang sukar difahami dalam bahasa yang tidak mereka fahami? Satu persoalan besar yang perlu difikirkan.
Bagi generasi bandar yang mempunyai akses dan kemudahan bagi setiap perkara, isu ini mungkin satu cabaran buat mereka. Tapi bagi generasi luar bandar, isu ini umpama lubang yang digali untuk menghapuskan mereka! Untuk meningkatkan penguasaan bahasa inggeris, tingkatkanlah keefektifan pembelajarannya bukan dengan mengorbankan mata pelajaran lain. Rujuk blog Dolah yang mengupas isu ketakefektifan sistem pembelajaran bahasa inggeris di Malaysia.
Sekarang ini pun sudah ramai anak melayu yang tak mampu berbahasa melayu dengan baik. Kurang kosa katanya. Hancur tatabahasanya. Lebih malang lagi, wujud golongan yang sudah tidak mampu berbahasa melayu sama sekali sebaliknya menuturkan bahasa inggeris dengan sungguh lancar. Mungkin anda menganggap ini satu isu yang lekeh. Tak pandai berbahasa melayu. So what? I can speak fluently in english. And I'm proud of it! Jawab saya : nantikan hari di mana nanti nama Malaysia ditukar kepada Englisia!
pernah sekali
semasa aku beratur beli tiket tren...
tiba-tiba ditegur oleh orang yang lebih dewasa di belakang (bukan melayu) untuk bertutur bahasa inggeris. Masa tu, aku tengah bergurau dengan adik aku.
terkejut aku...
nak je aku cakap... ni malaysia... saya melayu.. memang patut saya cakap melayu...tak tahu kenapa lidah aku kelu masa tu... hmm...
sudah terbukti rakyat malaysia pun pandang rendah kat bahasa melayu...
hiba!!!
tak salah menguasai bahasa inggeris. bukan sahaja bahasa inggeris, bahasa-bahasa lain juga. bagus. Sangat bagus. cuma janganlah kita mengagungkan bahasa asing hingga bahasa kita sendiri dibakulsampahkan. perlu diketahui, bahasa melayu adalah bahasa keempat terbesar di dunia. hanya berbeda satu anak tangga dengan bahasa inggeris yang dibanggakan tu!. jangan susukan anak kera di hutan, anak sendiri di rumah dibiar mati kelaparan!