ANALISA DALAM BICARA

Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini. Disibukkan dengan study dan juga "winning eleven" yang tidak henti-henti. Niat di hati hendak "mengupdate" tentang SC camp namun nampaknya ada isu lebih besar yang perlu saya beri perhatian dan pandangan.

Rabu yang lepas telah berlangsungnya sebuah pertandingan antara rumah di KYUEM. Apabila disebut antara rumah, maka seakan jatuhlah satu kewajipan ke atas rumah-rumah untuk menyertai. Pertandingan yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan Pertandingan Dikir Barat dan Tarian Tradisional Melayu anjuran kelab Kebudayaan Melayu atau nama inggerisnya (dah nama kelab Melayu kenapa guna nama Inggeris? Sungguh ironi. Sama seperti Umno) Malay Cultural Club (MCC). Pertandingan terbahagi kepada dua segmen iaitu dikir barat dan juga tarian tradisional.

Sebagai pembuka, saya sentuh mengenai dikir barat dahulu. Syarat yang ditetapkan pihak penganjur bagi saya sangat baik. Penyertaan sekurang-kurangnya 20 orang menyebabkan semua junior lelaki harus menyertai pertandingan ini memandangkan jumlah junior yang tidak ramai (yela. dah senior takkan nak join lagi. Bagi can kat juniorla. Tapi tak salah pon kalau nak masuk). Hal ini saya lihat bertepatan dengan tema yang perlu disampaikan oleh setiap rumah iaitu Muafakat Membawa Berkat. Bukan sekadar lagu yang disampaikan membawa maksud muafakat sebaliknya implementasinya iaitu perlaksanaannya turut membawa maksud muafakat dengan setiap kumpulan dikir disertai oleh hampir semua junior tidak mengira bangsa, agama, mahupon kelab yang diwakili.

Lagu yang disampaikan juga sangatlah baik memandangkan keadaan politik semasa yang berlaku yang menunjukkan seolah tiadanya kemuafakatan antara pemimpin. Lagu ini justeru menjadi satu medan mendidik kepada bakal pemimpin masa hadapan akan peri-pentingnya bermuafakat dan bekerjasama.

Berpindah kepada segmen kedua persembahan iaitu tarian tradisional. Saya bukanlah seorang yang pandai dalam hal-hal tarian ini. Saya tidak kenal apakah gaya dan lagu tarian endang, tarian zapin dan pelbagai jenis tarian lagi. Namun ia bukanlah alasan untuk saya tidak menyukai seni warisan negara ini. Kelembutan dan kesantunan yang dipaparkan melalui seni tari cukup memikat hati.

Isu yang lama dibuka semula. Keengganan dan ketegasan saya menolak kemasukan babak tarian "suriram" dalam pementasan Bangsawan seakan dipersoalkan kembali. Pertama, perlu saya tegaskan yang saya TIDAK anti kepada tarian. Tarian wanita memang masih menjadi satu isu. Kebanyakan ulama' mengharamkannya namun masih terdapat segelintir ulama' yang melonggarkannya. Saya tidak mahu menyentuh mengenai perbahasan para ulama' di sini. Namun, saya secara peribadi menolak untuk tarian ini dipentaskan atas kapasiti saya selaku penulis skrip. Dalam bahasa ringkasnya, saya tidak bersetuju adanya tarian wanita jika nama saya dikaitkan sekali dengan produksi tersebut dan dalam situasi ini merujuk kepada kapaisti saya selaku penulis skrip. Maka, saya mengambil keputusan setelah melalui pelbagai pertimbangan untuk meletak jawatan yang saya kira langkah ini lebih baik dari membuat persengketaan dan permusuhan. Alhamdulillah, tiada persengketaan dalam Topaz dan hubungan yang erat masih terjalin.

Balik semula kepada pertandingan. Dalam isu ini, saya tidak sama sekali bersetuju dengan tindakan MCC memasukkan pertandingan ini dan hal ini sudah saya nyatakan kepada yang berkenaan. InsyaAllah mungkin nanti ada pembaharuan. Namun, fokus kini berpindah kepada pertandingan yang terpaksa dihadapi ini. Dan secara logiknya setelah semua junior lelaki memasuki pertandingan dikir barat, pasti yang tinggal perempuan sahaja untuk menyertai pertandingan tarian ini.

Saya tidak mahu sentuh soal prinsip. Prinsip saya jelas. Saya tidak mahu ada kaitan. Soal hukum saya tidak berani sentuh. Dangkal dan masih mencari. Saya mahu sebut tentang realiti. Itulah yang terpaksa dihadapi. Disebabkan tarian dan dikir barat diselang-seli, secara tak langsung tarian itu ditonton sekali. Masih ada pilihan. Keluar,tunduk atau terpulang pada kebijaksanaan diri. Saya memilih yang kedua di samping berbual dengan Barisan Tertinggi JMJ. Sesekali melihat juga. Ada yang mempersembahkan seni tari dengan penuh bersopan. Menepati temanya iaitu tarian tradisional. Gerakan yang sedikit dan tidak berlebihan disulami dengan pemakaian yang cukup syarat menutup auratnya. Tak ketinggalan yang seolah gagal memahami apa itu maksud tradisi. Berpakaian ketat dengan gerak tari yang berlebihan.

Takdir Ilahi, pasukan yang dinyatakan sebelumnya yang menang. Moga dijadikan parameter oleh pasukan lain bahawa seni tari ini tidaklah diukur dengan ketatnya pemakaian atau lenggoknya gerakan, tapi kesantunan dan kehalusan yang dipaparkan.

Aah. Jauh sudah saya berbicara terkeluar dari niat asalnya. Niat ingin menyentuh mengenai isu baca doa yang heboh dibicarakan (saya hanya mengetahui isu ini melalui blog. tak tahulah tahap mana hebohnya). Isunya seolah-olah MUSCOM yang baru ini menolak untuk membaca doa dalam majlis di atas. Saya bertanya kepada seorang MUSCOM yang berjawatan, beliau mengatakan beliau tidak tahu pun mengenai isu ini. Tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh pihak atasan untuk "membanned" majlis ini.

Saya berfikir dan membuat analisa sendiri. Saya melihat hal ini berlaku lebih kerana salah faham antara pihak yang terlibat. Selaku penganjur, haruslah memahami bahawa setiap orang akan sibuk pada malam itu dengan pasukan masing-masing. Dan hal ini memang berlaku. Lihat sahaja surau selepas maghrib. memang sunyi sepi lantaran setiap pasukan melakukan persiapan terakhir. Jadi isu mengenai "pembannedan" ini saya rasa hanyalah satu salah faham lantaran dari kesibukan insan yang dimaksudkan dengan komitmen kepada pasukannya. Satu contoh yang jelas. Rakan sechalet saya, Afzal. Beliau merupakan presiden MCC. Dan pada program ICAN yang lalu, setiap majlis pasti beliau yang dijemput membaca doa. Mengapa Afzal tidak membaca doa dalam majlis ini? Seperti yang saya nyatakan, komitmen beliau kepada pasukannya perlu diutamakan. Dalam hal ini pihak penganjur sewajarnya mencari orang yang tiada komitmen. Contohnya , mantan Rexco (sekadar gurauan).

Yang berdiam tidak semestinya salah. Yang berkata tidak semestinya benar. Analisa dahulu sebelum setiap kata-kata diterjemahkan. Kisah ini mengingatkan saya sebuah majlis di mana saya harus membaca doa. Hati saya menolak. Setelah mendapat khidmat nasihat seorang teman, saya berdoa agar manusia dalam majlis itu dijauhi dari melakukan kemaksiatan, dilembutkan hatinya kepada Tuhan. Wallahua'lam
3 Responses
  1. Haq Mohaidin Says:

    aku suka org berprinsip.tahniah2

    dan oh ya, aku pun baru sedar perkara bahasa melayu dlm MCC dan UMNO. pelik kan?


  2. Iman Says:

    ingatkan saudara izwan pilus dah mencadangkan(menyuruh) pihak MCC menyeparatekan kedua pertandingan tesebut..


  3. Ulasan yg baik dari ex-religious exco...
    hebat2!!
    =p