TERKENANG TIKA ITU

Kumerenung ke luar jendela. Melihat sinaran purnama yang membalikkan cahaya dari sang suria. Kalau dirasakan sinaran suria itu pedih dan menyakitkan, tidaklah begitu sinaran sang purnama. Bahkan sinarannya cukup lembut, menyejukkan mata menenangkan jiwa.

Ah tiba-tiba ku teringat saat itu. Kami sama-sama bermandikan sinaran rembulan. Ditemani bintang-bintang malam yang berkerdipan. Ah saat itu. Masakan boleh berulang kembali. Di tengah kegelapan malam, kami membentang gulungan tikar. Menghempas diri di tengah padang yang luas. Menghirup udara segar dini pagi. Menggigil dengan embun pagi yang membeku. Kenangan bersama Mujahid, Aiman Kedah dan Shafiq confident

Kenangan itu mengheretku kepada memori yang lain. Saat bersama di ruang hadapan chaletku. Mengulangkaji pelajaran tak mengira waktu. Siang, malam, pagi, petang. Asalkan ada waktu, asalkan pendingin hawa sesejuk salju, pasti ada kami di situ. Haha. Meja-meja penuh dengan buku. Kenangan bersama Mujahid dan sesekali Aidid

Lalu kuteringat saat berhimpun di dataran berhadapan chaletku. Malam itu diisi dengan perbualan dan perbincangan. Masing-masing meluahkan coretan rasa, membongkar rahsia terpendam di jiwa. Pelbagai cerita yang masih kuingat dan sesekali tertawa sendiri pabila menjengah minda. Kenangan bersama Cuan, Aiman Kedah, We, Pie dan lain-lain.

Ah kenangan itu....

Sahabatku tiba dan mengucap bicara. Akan kenangan kami bersama. Cuba membuat suatu yang luar biasa. Tak pernah terfikir di fikiran sebelumnya. Nah, berjemaah isya' di gelanggang bola keranjang! Bukannya tiada jemaah di surau, tapi sengaja mencipta kelainan. Kenangan itu hampir kulupa. Mujur ada yang mengingatkannya. Kenangan bersama jejaka Batch 10 yang kucinta...

ENTAH APA

Sudah lamaku menyepikan diri dari penulisan. Sibuk dengan urusan. Keluar dengan kenalan. Melihat dan memerhatikan. Mendengar dan merasakan. Ah. Semua hanya alasan buat menutup kelemahan. Namun memang itulah fitrah manusia. Senantiasa mencari dan memberi alasan. Aku juga manusia bukan?

Entah apa hendakku katakan. Politik? Haha. Biarlah aku berehat sementara dari dunia ini.Aku ingin bebas menjadi seorang pemerhati yang neutral. Aku ingin kembali kepada cara asalku. Mendengar rintihan dan luahan insan yang tak berkemampuan. Insan yang kesempitan dan kesesakan. Namun tidakku sama sekali menuli dan memekakkan telinga akan jeritan mereka yang berkedudukan dan berjawatan.

Entah apa hendakku bicarakan. Bangsa dan agama? Dua perkataan yang seakan datang seiring menjengah setiap fikiran apabila salah satu kata diungkapkan. Pabilaku keluar, baru kulihat dan kusedar bahawa keduanya itu tak berkaitan. Tidak semua bangsa itu beragama yang sama. Tidaklah semua arab itu islam. Tidak pula semua inggeris itu kristian. Dan tidak pula semua cina itu Buddha. Mungkin di Malaysia sahaja mengaitkan keduanya namun itu tak mengapalah. Selaku pendengar, kudengar suara lantang membantah kewujudan atau dalam kata lain pengenalan diri menggunakan bangsa. Suara-suara ini cukup kuat menjerit mahukan identiti bangsa ini dihapuskan. Kuhairan. Kupelik. Tidakkah mereka sepatutnya berbangga dengan bangsa mereka yang mempunyai kegemilangan sejarah dan peradaban tamadun? Tidakkah mereka sepatutnya berbangga dengan bangsa mereka yang pernah menjelajah dan menguasai dunia? Tidakkah mereka sepatutnya berbangga dengan bangsa mereka yang mencorak dunia? Kufikir dan kurenung. Kutaksalahkan mereka kerana nyata mereka terperangkap dan terjerat dalam jerat ciptaan pemimpin-pemimpin di sekeliling mereka. Nyata mereka mahu menghilangkan identiti itu lantaran rasa tertindas dan tertipu. Entahlah. Yang nyata dan jelas, bukan salah menjadi suatu bangsa, malahan patut bergembira dan berbangga dengan keunikan dan kelainannya. Namun yang salah mereka yang menyebabkan bangsa itu berubah.

Entah apa hendakku luahkan. Toleransi? Di pusat pengajianku, terdiri megah sebuah bangunan surau yang baru. Kira-kira 200 orang mungkin boleh dimuatkan. Semua kos pembinaannya ditanggung oleh pihak universiti yang mana pihak pengurusannya bukanlah Islam. Entah apa agamanya. Kumemerhati dan melihat. Ada segolongan manusia, agama sama denganku, bangsa serupa denganku, menghina dan mencerca agama lain yang hendak mendirikan rumah ibadat mereka. Adakah ini terkandung dalam ajaran agamaku? Kubelek dan keselak. Nyata tidak. Syukur Alhamdulillah ia bukan ajaran agamaku. Bahkan agamaku menyuruhku menghormati rumah-rumah ibadat mereka. Maka yang berlaku itu ajaran siapa?

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan. Yang masalah kita selesaikan. Yang terbungkam kita suarakan. Yang marah kita redakan. Yang panas kita sejukkan. Moga tercapai sebuah impian dan harapan. Melihat kedamaian….