Sudah lamaku menyepikan diri dari penulisan. Sibuk dengan urusan. Keluar dengan kenalan. Melihat dan memerhatikan. Mendengar dan merasakan. Ah. Semua hanya alasan buat menutup kelemahan. Namun memang itulah fitrah manusia. Senantiasa mencari dan memberi alasan. Aku juga manusia bukan?
Entah apa hendakku katakan. Politik? Haha. Biarlah aku berehat sementara dari dunia ini.Aku ingin bebas menjadi seorang pemerhati yang neutral. Aku ingin kembali kepada cara asalku. Mendengar rintihan dan luahan insan yang tak berkemampuan. Insan yang kesempitan dan kesesakan. Namun tidakku sama sekali menuli dan memekakkan telinga akan jeritan mereka yang berkedudukan dan berjawatan.
Entah apa hendakku bicarakan. Bangsa dan agama? Dua perkataan yang seakan datang seiring menjengah setiap fikiran apabila salah satu kata diungkapkan. Pabilaku keluar, baru kulihat dan kusedar bahawa keduanya itu tak berkaitan. Tidak semua bangsa itu beragama yang sama. Tidaklah semua arab itu islam. Tidak pula semua inggeris itu kristian. Dan tidak pula semua cina itu Buddha. Mungkin di Malaysia sahaja mengaitkan keduanya namun itu tak mengapalah. Selaku pendengar, kudengar suara lantang membantah kewujudan atau dalam kata lain pengenalan diri menggunakan bangsa. Suara-suara ini cukup kuat menjerit mahukan identiti bangsa ini dihapuskan. Kuhairan. Kupelik. Tidakkah mereka sepatutnya berbangga dengan bangsa mereka yang mempunyai kegemilangan sejarah dan peradaban tamadun? Tidakkah mereka sepatutnya berbangga dengan bangsa mereka yang pernah menjelajah dan menguasai dunia? Tidakkah mereka sepatutnya berbangga dengan bangsa mereka yang mencorak dunia? Kufikir dan kurenung. Kutaksalahkan mereka kerana nyata mereka terperangkap dan terjerat dalam jerat ciptaan pemimpin-pemimpin di sekeliling mereka. Nyata mereka mahu menghilangkan identiti itu lantaran rasa tertindas dan tertipu. Entahlah. Yang nyata dan jelas, bukan salah menjadi suatu bangsa, malahan patut bergembira dan berbangga dengan keunikan dan kelainannya. Namun yang salah mereka yang menyebabkan bangsa itu berubah.
Entah apa hendakku luahkan. Toleransi? Di pusat pengajianku, terdiri megah sebuah bangunan surau yang baru. Kira-kira 200 orang mungkin boleh dimuatkan. Semua kos pembinaannya ditanggung oleh pihak universiti yang mana pihak pengurusannya bukanlah Islam. Entah apa agamanya. Kumemerhati dan melihat. Ada segolongan manusia, agama sama denganku, bangsa serupa denganku, menghina dan mencerca agama lain yang hendak mendirikan rumah ibadat mereka. Adakah ini terkandung dalam ajaran agamaku? Kubelek dan keselak. Nyata tidak. Syukur Alhamdulillah ia bukan ajaran agamaku. Bahkan agamaku menyuruhku menghormati rumah-rumah ibadat mereka. Maka yang berlaku itu ajaran siapa?
Fikir-fikirkan dan renung-renungkan. Yang masalah kita selesaikan. Yang terbungkam kita suarakan. Yang marah kita redakan. Yang panas kita sejukkan. Moga tercapai sebuah impian dan harapan. Melihat kedamaian….
berbakat juga shaykh ariff menulis!
ayat sheikh adli ni!
Semua orang pun mahu berehat dari dunia politik. Apakah politiking terlalu busuk utk didekati? Hahah
P/s: isa samad kirim salam