BERTENANGLAH

Tersentak aku apabila mendapat khabar sebuah gereja dibakar malam tadi di Desa Melawati. Khabar yang aku dengar aku selidiki kembali kebenarannya dan ternyata ia benar. Bahkan, bukan satu gereja yang diserang sebaliknya tiga! Isunya bertitik tolak dari keputusan mahkamah membenarkan majalah Herald Tribune menggunakan nama Allah dalam penerbitannya. Aku memilih untuk tidak mengulas mengenai isu ini. Rasanya bagi mereka yang mengenali aku di facebook, pendirian aku dalam isu ini cukup jelas.



Hendak disalahkan kepada yang pembakar seratus-peratus, rasanya tak wajar juga. Mungkin pembakar ini adalah dari kalangan anak muda yang jiwanya membuak-buak, cepat panas namun kurang ilmu dan agama di dada. Muslim yang muslim dan berilmu sama sekali tidak akan membuat perkara-perkara sebegitu. Hatta dalam peperangan sekali pun, muslim ditegah dari merosakkan tempat ibadat agama lain apatah lagi dalam situasi bukan perang.

Jadi, siapa yang wajar dipersalahkan? Aku berdiskusi dengan beberapa orang rakan dan konklusi kami sama. Isu ini sengaja dihangat dan diapi-apikan oleh pihak media dan ahli-ahli politik yang berkepentingan.



Jika setelah keputusan mahkamah itu dibuat media memainkan peranannya dengan memberi kefahaman kepada masyarakat, menenangkan jiwa-jiwa yang resah, tidak melagakan para ulama', memberi peluang kepada pihak yang terlibat untuk berhujah dengan hujah,rasanya isu ini sudah lama selesai

Jika setelah keputusan mahkamah itu dibuat, ahli-ahli politik tidak mempermain dan tidak mengapi-apikan isu ini, menenangkan para penyokong dan pengikut, menginisiatifkan pertemuan dan perjumpaan, sekali lagi, rasanya isu ini sudah pun selesai.

Maka apa solusinya? Adakah kita terus membiarkan situasi ini berlanjutan? Atau apakah kita akan membiarkan pihak berkuasa melakukan kawalan seperti kewujudan darurat? Di manakah keamanan dan kedamaian yang selama ini kita idam dan agungkan? Sudahlah rakan-rakan! Bertenanglah. Dan ajak rakan anda bertenang. Suruh mereka ajak rakan mereka bertenang. Kerana setelah ketenangan itu datanglah baru kita dapat berdiskusi secara ilmiah, berhujah dengan hujah, bukan dengan emosi, bukan dengan sampah!

Melihat kembali lipatan sejarah, agama lain boleh hidup dengan aman damai di bawah pemerintahan Islam. Apakah kita mahu melakar sejarah baru? Cukuplah. Bertenanglah. Kelihatan semenjak dua menjak ini ada anasir-anasir yang cuba mengharu-birukan kedamaian, mengkacau-bilaukan keamanan. Marilah kita bersama-sama mencari siapakah anasir ini. Jika tak mampu, sekurang-kurangnya kita halanglah dia/mereka dari terus-terusan melaksanakan agenda jahat dia/mereka. Dia/mereka ini cukup bimbang dengan diskusi dan hujah, maka marilah kita berdiskusi dengan aman, berhujah dengan tenang.

Nasi memang sudah menjadi bubur. Tapi bubur itu masih enak untuk dimakan. Janganlah biarkan bubur itu basi pula hingga tiada siapa dapat menikmati keenakannya lagi.

MODIFIKASI

Bayangkan jika Mark Zuckenberg, pemilik Facebook itu seorang muslim. Entah berapa banyak pahala yang dia dapat. Mencurah-curah bagaikan air sungai yang tidak berhenti. Betapa Mark Zuckenberg telah mereka sebuah sistem yang di sana terdapat sebuah nilai Islam yang paling penting iaitulah menjalinkan silaturrahim. Kawan-kawan sekolah rendah hatta tadika sekali pun yang mungkin sudah berpuluh tahun terpisah, ditemui kembali di medan facebook. Bagaimana pula yang mungkin rumahnya selang tiga empat buah sahaja namun tak pernah bersua muka, alih-alih menjadi kawan rapat. Dan banyak lagi perkara-perkara lain yang mengikat dan merapatkan silaturrahim, semua kerana facebook.

Khutbah Jumaat adalah satu kewajipan ke atas setiap lelaki mukallaf yang memenuhi syaratnya. Maka apabila tiba masa khutbah jumaat ini, berduyun-duyunlah datang manusia memenuhi masjid. Namun malang sekali apabila masa khutbah jumaat ini menjadi medan untuk manusia tidur. Mungkin kerana keletihan tapi banyaknya gara-gara khutbah yang membosankan atau khatib itu sendiri yang menyampaikan secara bosan. Di sini sudah ada modifikasi dan penambahbaikan semenjak dua menjak ini. Isi-isi khutbah mula ditulis dalam bentuk "power point" dan dipancarkan untuk menjadi tatapan jemaah. Sekurang-kurangnya jika mereka terlepas dengar, mereka dapat melihat. Begitu juga dengan pemberian pamplet yang seperti paparan "power point" tadi, turut diisi dengan isi-isi penting khutbah.



Apa yang hendak aku bicarakan di sini bukanlah mengenai facebook mahupun khutbah jumaat, tetapi modifikasi dan penambahbaikan. Mark Zuckenberg mungkin tahu atau tidak tahu akan nilai silaturrahim dalam Islam, dan dia menjadi seorang yang kreatif, memodifikasi nilai itu menjadi sebuah laman perhubungan. Khutbah jumaat adalah satu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf. Kehadiran begitu ramai umat islam ke majlis ini seharusnya diambil peluang oleh para khatib untuk menyampaikan peringatan dan nasihat kepada para jemaah. Jika khutbahnya kurang didengar dan mengantuk, tambahbaikkanlah. Pancarkan "power point". Edarkan pamplet.

Di sinilah aku melihat keperluan untuk memodifikasi dan menambahbaik sistem yang dipakai oleh kebanyakan jemaah. Untuk lebih tepat, sistem usrah. Aku bukanlah seorang "kaki" usrah. Jujurnya, aku tak meminati usrah. Usrah bagi aku adalah satu perhimpunan yang membosankan, melibatkan interaksi satu hala dan impaknya agak minima. Pasti selepas ini aku akan dilabel sebagai tidak cukup tarbiah. Perkiraan untuk melihat aspek "keseronokan" usrah ini mudah. Cuba kira berapa ramai yang tinggal setelah 3 bulan sesuatu usrah itu berjalan.



Memang benar sudah terdapat beberapa modifikasi bagi menjadikan sistem ini lebih berkesan. Adanya jaulah (berjalan-jalan), riadhah (bersukan) dan pelbagai lagi namun rasanya masih tidak cukup untuk menjadikan sistem ini lebih mesra dan berkesan.

Ketika di dalam tren, aku berbincang dengan seorang rakan yang sekarang ini mengambil phd. Dia satu ketika dulu cukup aktif terlibat dalam sistem usrah dan jemaah ini dan katanya yang menarik perhatian aku ialah "zaman usrah dah berlalu". Tak lama kemudian, kami ke rumah seorang pensyarah di University of Melbourne. Beliau juga cukup aktif di Malaysia dahulu dalam sistem jemaah dan usrah dan menariknya, ayat beliau sama; "zaman usrah sudah berlalu".

Sudah pasti ada yang akan tidak bersetuju dan menentang penulisan aku ini kerana sistem usrah inilah yang mungkin telah berjaya membentuk diri mereka menjadi insan yang lebih baik dan berguna. Silakan untuk tidak bersetuju. Mungkin sistem ini hanya dirasakan tidak sesuai olehku dan juga dua orang sahabatku itu. Namun bagi yang bersetuju denganku, marilah kita sama-sama memikirkan satu langkah untuk memodifikasi dan menambahbaik sistem yang sedia ada ini atau mungkin menjadi lebih kreatif dalam menginovasi (membuat satu sistem yang baru).

KEMAM

Semenjak dua menjak ini aku mendedikasikan masa menulis aku kepada blog yang baru dibuka, KEMAM . Blog ini memaparkan restoran-restoran di Melbourne, resipi-resipi pelajar di Melbourne dan juga info-info berkaitan makan dan makanan termasuklah info kesihatan, tips menjaga kuali, tips memasak dan sebagainya. Bukannya apa. Alang-kepalang dah menulis, biarlah bermanfaat. Blog ini mudah-mudahan dapat membantu para pelajar di Melbourne menjejak restoran-restoran yang menjual makanan halal. Blog ini bukanlah ditulis oleh aku seorang. Tak mampu rasanya nak menulis dengan kerap. Jadi blog ini sebenarnya ditulis oleh ramai pihak.

Jom lawat : KEMAM

TAHUN BARU

Lama tak menulis. Sudah hilang rasanya "skill-skill" menulis. Otak pun tidak lagi selancar dahulu menyusun kata dan bicara. Entahlah. Bukan kerna komitmen lain alasannya, cuma perasaan itu tidak ada untuk menulis. Ah. Malas sebenarnya. Lebih senang menjengah blog-blog mereka yang sentiasa dikemaskini. Herman, Zul, Haq dan lain-lain. Rajin sungguh mereka.

Tahun baru masihi baru sahaja dijejaki. Tahun 2010. Di Australia, ada perbahasan di akhbar sama ada mahu dipanggil "two thousan ten" atau "twenty ten". Berdasarkan sifat kemalasan orang Australia, maka "twenty ten" dijangka akan menjadi pilihan utama. Tunggu dan lihat.

Malam sambutan tahun baru, aku turut keluar dari rumah. Pertama kali rasanya turut sama dengan masyarakat di sambutan sebegini. Di Malaysia, sekali pun tak pernah pergi. Pada malam itu, aku bersama dengan ahli rumahku yang lain ke pantai Williamstown. Tak perlu ke bandar pun untuk menyaksikan bunga api memandangkan jarak pantai itu yang tidak jauh dengan bandar dan memang bunga api dipancarkan untuk dilihat dari segenap penjuru bandar.

Tak sangka ramai juga muda-mudi berkumpul di situ. Ingatkan semua mereka ke bandar. Tepat jam 12 tengah malam, bunga api kelihatan memancar-mancar di langit Melbourne. Walaupun hujan turun, masing-masing termasuk aku tidak berganjak dari menyaksikan keindahannya. Suasana mula berubah menjadi bising. Mereka mula menjerit-jerit, mengucapkan selamat tahun baru.

Di saat itu aku merenung dan berfikir. Aku tenung wajah-wajah kegembiraan mereka. Aku dengar laungan-laungan kegembiraan mereka. Nyata. Jiwa mereka kosong sebenarnya. Di sebalik kegembiraan menyambut tahun baru, nyata terselit kekosongan. Tahun baru adalah perayaan tanpa penghayatan. Dan nyata, memang sambutan tahun baru itu berlangsung tanpa penghayatan. Lain sekali suasananya ketika mereka meraikan krismas yang lalu. Kelihatan sambutan tahun baru adalah perayaan anak muda semata jika dibandingkan dengan krismas yang menyatukan keluarga.