BERTENANGLAH

Tersentak aku apabila mendapat khabar sebuah gereja dibakar malam tadi di Desa Melawati. Khabar yang aku dengar aku selidiki kembali kebenarannya dan ternyata ia benar. Bahkan, bukan satu gereja yang diserang sebaliknya tiga! Isunya bertitik tolak dari keputusan mahkamah membenarkan majalah Herald Tribune menggunakan nama Allah dalam penerbitannya. Aku memilih untuk tidak mengulas mengenai isu ini. Rasanya bagi mereka yang mengenali aku di facebook, pendirian aku dalam isu ini cukup jelas.



Hendak disalahkan kepada yang pembakar seratus-peratus, rasanya tak wajar juga. Mungkin pembakar ini adalah dari kalangan anak muda yang jiwanya membuak-buak, cepat panas namun kurang ilmu dan agama di dada. Muslim yang muslim dan berilmu sama sekali tidak akan membuat perkara-perkara sebegitu. Hatta dalam peperangan sekali pun, muslim ditegah dari merosakkan tempat ibadat agama lain apatah lagi dalam situasi bukan perang.

Jadi, siapa yang wajar dipersalahkan? Aku berdiskusi dengan beberapa orang rakan dan konklusi kami sama. Isu ini sengaja dihangat dan diapi-apikan oleh pihak media dan ahli-ahli politik yang berkepentingan.



Jika setelah keputusan mahkamah itu dibuat media memainkan peranannya dengan memberi kefahaman kepada masyarakat, menenangkan jiwa-jiwa yang resah, tidak melagakan para ulama', memberi peluang kepada pihak yang terlibat untuk berhujah dengan hujah,rasanya isu ini sudah lama selesai

Jika setelah keputusan mahkamah itu dibuat, ahli-ahli politik tidak mempermain dan tidak mengapi-apikan isu ini, menenangkan para penyokong dan pengikut, menginisiatifkan pertemuan dan perjumpaan, sekali lagi, rasanya isu ini sudah pun selesai.

Maka apa solusinya? Adakah kita terus membiarkan situasi ini berlanjutan? Atau apakah kita akan membiarkan pihak berkuasa melakukan kawalan seperti kewujudan darurat? Di manakah keamanan dan kedamaian yang selama ini kita idam dan agungkan? Sudahlah rakan-rakan! Bertenanglah. Dan ajak rakan anda bertenang. Suruh mereka ajak rakan mereka bertenang. Kerana setelah ketenangan itu datanglah baru kita dapat berdiskusi secara ilmiah, berhujah dengan hujah, bukan dengan emosi, bukan dengan sampah!

Melihat kembali lipatan sejarah, agama lain boleh hidup dengan aman damai di bawah pemerintahan Islam. Apakah kita mahu melakar sejarah baru? Cukuplah. Bertenanglah. Kelihatan semenjak dua menjak ini ada anasir-anasir yang cuba mengharu-birukan kedamaian, mengkacau-bilaukan keamanan. Marilah kita bersama-sama mencari siapakah anasir ini. Jika tak mampu, sekurang-kurangnya kita halanglah dia/mereka dari terus-terusan melaksanakan agenda jahat dia/mereka. Dia/mereka ini cukup bimbang dengan diskusi dan hujah, maka marilah kita berdiskusi dengan aman, berhujah dengan tenang.

Nasi memang sudah menjadi bubur. Tapi bubur itu masih enak untuk dimakan. Janganlah biarkan bubur itu basi pula hingga tiada siapa dapat menikmati keenakannya lagi.

1 Response
  1. syafiqn Says:

    a well analysed post! thank you for opening up my mind =)