MODIFIKASI

Bayangkan jika Mark Zuckenberg, pemilik Facebook itu seorang muslim. Entah berapa banyak pahala yang dia dapat. Mencurah-curah bagaikan air sungai yang tidak berhenti. Betapa Mark Zuckenberg telah mereka sebuah sistem yang di sana terdapat sebuah nilai Islam yang paling penting iaitulah menjalinkan silaturrahim. Kawan-kawan sekolah rendah hatta tadika sekali pun yang mungkin sudah berpuluh tahun terpisah, ditemui kembali di medan facebook. Bagaimana pula yang mungkin rumahnya selang tiga empat buah sahaja namun tak pernah bersua muka, alih-alih menjadi kawan rapat. Dan banyak lagi perkara-perkara lain yang mengikat dan merapatkan silaturrahim, semua kerana facebook.

Khutbah Jumaat adalah satu kewajipan ke atas setiap lelaki mukallaf yang memenuhi syaratnya. Maka apabila tiba masa khutbah jumaat ini, berduyun-duyunlah datang manusia memenuhi masjid. Namun malang sekali apabila masa khutbah jumaat ini menjadi medan untuk manusia tidur. Mungkin kerana keletihan tapi banyaknya gara-gara khutbah yang membosankan atau khatib itu sendiri yang menyampaikan secara bosan. Di sini sudah ada modifikasi dan penambahbaikan semenjak dua menjak ini. Isi-isi khutbah mula ditulis dalam bentuk "power point" dan dipancarkan untuk menjadi tatapan jemaah. Sekurang-kurangnya jika mereka terlepas dengar, mereka dapat melihat. Begitu juga dengan pemberian pamplet yang seperti paparan "power point" tadi, turut diisi dengan isi-isi penting khutbah.



Apa yang hendak aku bicarakan di sini bukanlah mengenai facebook mahupun khutbah jumaat, tetapi modifikasi dan penambahbaikan. Mark Zuckenberg mungkin tahu atau tidak tahu akan nilai silaturrahim dalam Islam, dan dia menjadi seorang yang kreatif, memodifikasi nilai itu menjadi sebuah laman perhubungan. Khutbah jumaat adalah satu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim yang mukallaf. Kehadiran begitu ramai umat islam ke majlis ini seharusnya diambil peluang oleh para khatib untuk menyampaikan peringatan dan nasihat kepada para jemaah. Jika khutbahnya kurang didengar dan mengantuk, tambahbaikkanlah. Pancarkan "power point". Edarkan pamplet.

Di sinilah aku melihat keperluan untuk memodifikasi dan menambahbaik sistem yang dipakai oleh kebanyakan jemaah. Untuk lebih tepat, sistem usrah. Aku bukanlah seorang "kaki" usrah. Jujurnya, aku tak meminati usrah. Usrah bagi aku adalah satu perhimpunan yang membosankan, melibatkan interaksi satu hala dan impaknya agak minima. Pasti selepas ini aku akan dilabel sebagai tidak cukup tarbiah. Perkiraan untuk melihat aspek "keseronokan" usrah ini mudah. Cuba kira berapa ramai yang tinggal setelah 3 bulan sesuatu usrah itu berjalan.



Memang benar sudah terdapat beberapa modifikasi bagi menjadikan sistem ini lebih berkesan. Adanya jaulah (berjalan-jalan), riadhah (bersukan) dan pelbagai lagi namun rasanya masih tidak cukup untuk menjadikan sistem ini lebih mesra dan berkesan.

Ketika di dalam tren, aku berbincang dengan seorang rakan yang sekarang ini mengambil phd. Dia satu ketika dulu cukup aktif terlibat dalam sistem usrah dan jemaah ini dan katanya yang menarik perhatian aku ialah "zaman usrah dah berlalu". Tak lama kemudian, kami ke rumah seorang pensyarah di University of Melbourne. Beliau juga cukup aktif di Malaysia dahulu dalam sistem jemaah dan usrah dan menariknya, ayat beliau sama; "zaman usrah sudah berlalu".

Sudah pasti ada yang akan tidak bersetuju dan menentang penulisan aku ini kerana sistem usrah inilah yang mungkin telah berjaya membentuk diri mereka menjadi insan yang lebih baik dan berguna. Silakan untuk tidak bersetuju. Mungkin sistem ini hanya dirasakan tidak sesuai olehku dan juga dua orang sahabatku itu. Namun bagi yang bersetuju denganku, marilah kita sama-sama memikirkan satu langkah untuk memodifikasi dan menambahbaik sistem yang sedia ada ini atau mungkin menjadi lebih kreatif dalam menginovasi (membuat satu sistem yang baru).

2 Responses
  1. Haq Mohaidin Says:

    yup.agree.utk certain student luar kyuem tu, usrah ni jd bahan mainan. mcm "kau pegi usrah! wow!"

    modifikasi utk mantapkn usrah kne drastik


  2. Anonymous Says:

    tahniah dan terima kasih atas pandangan jelas tersebut. setuju!

    apapun, bg aku benda ni berbalik kpd objektif korg berusrah dan kebijaksanaan korg mengendalikan usrah.

    ps; kdg2 aku rasa tak adil utk aku kata aku tak suka certain subject yg aku belajar kat uni semata2 kerana lecturer aku membosankan; dalam masa yg sama member aku rata2nya seronok sgt2 belajar subject sama di uni yg lain dgn (of course) lecturer yg lain.