RM1 juta insentif atlet negara menang emas di Olimpik

KUALA LUMPUR 24 Jun – Atlet negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini dan pada temasya serupa pada masa akan datang akan menerima insentif RM1 juta berbanding hanya RM160,000 sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun hadiah itu dianggap besar, ia wajar memandangkan standard Sukan Olimpik semakin meningkat.

“Untuk memenangi pingat emas ini juga bukan satu perkara mudah kerana pertandingan pada Olimpik semakin sukar. Daripada satu Olimpik kepada Olimpik yang satu lagi kita lihat standard semakin meningkat.

“Oleh itu, kita harus meletakkan sasaran yang lebih besar, lebih menarik lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan di bangunan Parlimen hari ini.

Najib berkata, negara-negara jiran seperti Singapura juga menawarkan insentif S$1 juta untuk atlet mereka yang meraih emas Olimpik.

Beliau berkata, ganjaran RM1 juta adalah wajar dan berpatutan memandangkan temasya sukan Olimpik itu ‘begitu gah’ dan diadakan empat tahun sekali.

Najib berkata, mesyuarat juga bersetuju memberi RM300,000 kepada pemenang pingat perak dan RM100,000 untuk gangsa.

Bagi pasukan yang memenangi emas, kadar minimum yang ditentukan ialah RM150,000 untuk setiap pemain.

Selain itu, pencen bulanan yang diterima oleh pemenang pingat Olimpik juga dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi pemenang emas, RM3,000 perak (sebelum ini RM1,500) dan RM2,000 gangsa (sebelum ini RM1,000). Ia berkuat kuasa bulan depan.

Buat masa ini hanya lima atlet negara pernah memenangi pingat Olimpik iaitu pasangan beregu lelaki badminton negara, Razif dan Jailani Sidek (gangsa Olimpik Barcelona 1992), beregu lelaki, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (perak Olimpik Atlanta 1996) dan pemain perseorangan Rashid Sidek (gangsa Olimpik Atlanta).

Jawatankuasa itu juga bersetuju memberi insentif kepada atlet paralimpik negara iaitu RM300,000 (emas), RM200,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa).

– Bernama


ULASANKU : RM1 juta??? Entah apalah manfaatnya pingat emas itu. Memang nama negara akan terpalit dalam lipatan sejarah. Tapi, apakah sekadar itu? Sudah tiada orang miskinkah untuk dihulurkan bantuan? Sudah tiada pelajarkah yang layak diberi biasiswa? Sudah tiada pesakitkah yang tidak mampu menampung kos rawatan lantas menderita di atas katil-katil hospital? Wallahua'lam. bagiku ganjaran tidak salah. Tapi biarlah berkadaran. Kita tidak mahu menghasilkan atlet yang materialistik semata-mata sebaliknya biarlah atlet itu berjuang untuk menaikkan nama negara.

1 Response
  1. khAINIza Says:

    ramai lagi org yang memerlukan...tak perlu keluarkan wang semata-mata nak naikkan nama negara...

    lebih baik duit tu masukkan dalam subsidi minyak, at least semua rakyat dapat faedahnya...beri kepada yg lebih memerlukan...

    p/s:dulu mosti ada 2 scholar yg bleh apply utk postgrade...PGD dgn NSF...skrg tggl NSF jer...mgkn byk kuar duit kat program angkasawan tu kot...yg memerlukan ni terabai...huhuhu...berilah ku scholarship... :P