KEMBARA LANGKAWI - PART 2

Masih lagi perjalanan dalam bas. Yelah kan. Cerita hari demi hari. Dijadikan cerita, bas kami berhenti di sebuah hentian. Entah apa namanya. Terlupa. Maklumlah. Usia kian meningkat tua. Jam sekitar 2 pagi ketika itu. Bergegaslah ramai umat manusia menuju ke bilik selesa. Tapi terdapat dua orang insan. Ketika orang lain sibuk ke bilik selesa, mereka berdua menghilang di sebalik kegelapan malam menuju ke medan selera. Tiada siapa yang sedar kehilangan mereka berdua. Hinggalah pak cik Drebar bas hendak memulakan semula perjalanan, aku dan Aman mengkhabarkan kepada pak cik Drebar akan kehilangan mereka berdua. Puas dihubungi tapi tidaklah mereka angkat telefon bimbit mereka. Akhirnya mereka datang secara berlari ke bas sambil membawa dua bungkusan air. Ternyata mereka baru selesai menjamu selera. "Tak sempat nak habis pon nasi lemak tadi kan Pie(bukan nama sebenar)", ujar Acap Rais(bukan nama sebenar).

Perjalanan diteruskan sambil sekali-sekala perbualan mengenai isu semasa mengisi ruang perbincangan. Zul terus-menerus terlena. Entah apa dimimpikannya. Mungkin sedang terbayang diri sedang ber"snorkeling" di Pulau Langkawi. Tak lama kemudian, bas sekali lagi berhenti. Kali ini di hentian mana entah. Tiada apa yang menarik melainkan nasi lemaknya berlaukkan ikan masin. Perjalanan diteruskan dan kami semua tertidur.

Akhirnya kami terjaga ketika tiba di Bandar Alor Setar. Wajah-wajah pengembara semua kelihatan teruja. Tak lama kemudian, kami tiba di Hentian Bas Shahab Perdana. Kenapa namanya Shahab? Entahlah. Orang Kedah pun tidak dapat menjawab persoalan itu. Kami lantas menunaikan solat subuh yang sudah masuk waktunya. Seusai solat, kami menanti kehadiran Farhan Baku dan juga Farah Hazwani. Khabar misteri kedengaran di mana Farah mungkin menarik diri dari perjalanan memandangkan ada masalah yang timbul. Usaha menghubungi beliau gagal atas sebab-sebab yang tidak dapat dijelaskan di alam maya ini. Akhirnya Farhan tiba bersama bapanya dan mengajak kami semua bersarapan bersama-sama. Farah akhirnya mengesahkan bahawa beliau akan turut menyertai program ini.

Setelah bersarapan roti canai yang dibelanja oleh ayah Farhan, kami menanti dan terus menanti ketibaan farah Hazwani. Akhirnya, kata sepakat dicapai di mana satu kumpulan bergerak dahulu dengan kereta ayah Farhan dan satu kumpulan lagi menunggu ketibaan Farah Hazwani. Akhirnya kami tiba di Jeti Kuala Kedah. Menanti dan terus menanti. Akhirnya satu lagi kumpulan tiba. Tiket feri terus dibeli. Tidak ingat akan harganya. RM28 kah? Tanpa membuang masa kami terus menaiki feri yang sedia menunggu. Langkawi, here we come!!!, jerit Zul (bukan nama sebenar)(ini adalah rekaan semata-mata).

Lebih kurang sejam setengah perjalanan menaiki feri. Kadang-kadang mata terlelap dan seringkali terjaga. Mungkin kerana teruja lantaran bakal menjejakkan kaki buat kali pertama di Pulau Lagenda. Kelam-kelam kian gemilang. Akhirnya terlihat kelibat patung Burung Helang yang menjadi igauan Acap Rais selama beberapa malam. Akhirnya, kami tiba di Langkawi.

Kami disambut oleh Bandung, J-Lo dan Syahira Mat di jeti. Setelah berbasa-basi buat seketika, aku, Zul, farah Hazwani dan kawannya (Faiz-perempuan ni) pergi ke kaunter kereta sewa untuk menyewa kereta. Akhirnya, kami membuat keputusan menyewa Suzuki ERV 1.5. Oklah. Ada tujuh tempat duduk. Cuma kurang pikapla. Harganya? RM220 untuk tiga hari (sampai pagi Khamis). Kira oklah.

Aku diberi tugas memandu lantaran kereta itu merupakan kereta automatik. Entah ke mana Bandung menghilang dan aku memandu sesuka hati sahaja dengan niat untuk mencari stesen minyak. Akhirnya, kami diisytiharkan sesat dan mujurlah Bandung berjaya menemui kami. Lantas, kenderaan dipandu menuju ke stesen minyak.

Setelah minyak diisi, kami bergerak ke apartmen Bandung. "Waaaaah", ujar kami semua. Sangat selesa sekali kemudahan yang disediakan. Ayah Bandung iaitu Dr Rahmat juga membeli sebuah televisyen baru (mungkin untuk kami) walaupun apartmen itu kosong. "Bolehlah layan movie di malam hari", ujar Pie.

Setelah membersihkan diri dan berehat seketika, kami keluar menjamu selera berhampiran Dataran Lang. Ketika ini Oggy memandu. Aku memilih Mee Kuah Udang sebagai juadah. Terkesima seketika aku melihatkan 3 ekor udang besar diletakkan. Aku melihat kembali harganya. Bukan apa. Bimbang. Akhirnya aku lega. Rm 4.50. Setelah menjamu selera, kami menuju ke masjid berhampiran memandangkan Zuhur telah pun tiba. Selesai solat, kami meneruskan perjalanan menuju ke air terjun Lubuk Semilang. Di sini terletak Perkampungan Buku yang macam dah tak nampak bukunya lagi dan juga Tangga Seribu Kenangan yang tidak dapat didaki atas masalah teknikal.

Kami (yang lelakila) bermandi sakan di air terjun ini. Sungguh nyaman airnya. Bagai berada di Cameron Highland. Setelah puas bermandi-manda dan juga bercanda, akhirnya kami bergegas naik memandangkan gerimis mula turun renyai-renyai. Setelah itu, kami pulang semula ke apartmen Bandung manakala yang perempuan pergi membeli-belah.

Seperti dijangka, semua terbungkang di atas bumi (katil). Janji hendak keluar semula sekitar jam 4.30 petang tapi itu hanyalah angan-angan belaka. Akhirnya setelah dipaksa dan memaksa, kami keluar jam 5 petang menuju ke sebuah pusat membeli belah. Entah apa namanya. Langkawi Parade mungkin. Tidak ada apa sangat yang hendak dibeli lantas kami menuju semula ke kedai makan tadi. Kali ini merasa penangan laksa Penarak. Laksa ini merupakan transformasi dari Laksa Penang di mana kuahnya lebih pekat dan lebih masam.

Setelah kenyang, kami meneruskan perjalanan dengan membeli-belah semula. Singgah di kedai menjual coklat. Apa lagi. Memborong. Aku mengorbankan sekitar RM100 di situ. Langkah terus diatur. Kecoh umat manusia apabila terlihat kelibat Fahrin Ahmad. Aku lantas bertanya kepada mereka, "Siapa Fahrin Ahmad?".

Kami ke kereta semula dan kali ini mencari sebuah kedai yang menjadi sebutan ramai, Idaman Suri. Puas kami mencari tetapi masih tidak bertemu. Akhirnya setelah puas mencari, ketemu jua Pasaraya Idaman Suri itu. Di sinilah Pie mula menunjukkan belang apabila hampir semua barang di kedai ini diborongnya. Berplastik-plastik. Aku? Membeli dua set sudu dan set pinggan mangkuk. Seperti biasa. Sekitar RM 100 dikorbankan.

Akhirnya setelah kedai ditutup, barulah Pie keluar. Itupun lama setelah kedai ditutup. Kami berangkat pulang menuju apartmen Bandung manakala yang perempuan ke rumah Bandung. Setibanya di rumah, kami mandi, bersolat dan memasak hidangan istimewa iaitu Maggi. Makan secara beramai-ramai. Setelah kenyang, permainan Jutaria dimulakan. Setelah mereka berpakat berhempas-pulas untuk memufliskanku, aku berjaya bertahan dan akhirnya Acap Rais yang muflis dahulu.

Apa lagi. Masa tidur. Acap Rais dan Pie memilih untuk tidur di hadapan televisyen. Aku tidur berseorangan di bilik tingkat bawah. Manakala yang lain tidur di tingkat atas. Keadaan kembali sunyi dan sepi.

Bersambung...

P/s : gambar-gambar tidak boleh dimasukkan atas masalah teknikal. Harap maaf

KEMBARA LANGKAWI - PART 1

Isnin 24 November. Aku menaiki bas Maraliner sekitar 3.30 petang dari Terminal Makmur, Kuantan. Sepanjang perjalanan tidak ada aktiviti menarik yang aku lakukan selain tidur. Maklumlah. Masih terasa sisa-sisa kepenatan lantaran baru pulang pada malam Sabtu. Tiba di Puduraya sekitar 6.30 petang lantas bermonolog sendiri apakah patut bersolat maghrib dahulu atau menjamu selera lantaran perut yang bernyanyi ria lagu keroncong.

Langkah diatur ke Restoran KFC berdekatan. X meal dan potato wedges menjadi pilihan. Terbang sekitar RM12 di situ. Setelah menjamu selera, alhamdulillah terasa kenyang lantas mengatur langkah ke surau Puduraya yang terletak di tingkat atas.

Alhamdulillah. Sempat bersolat maghrib secara berjemaah bersama imam sebelum aku bangkit menunaikan solat isyak. Seusai bersolat kumelihat jam di tangan. Masih awal lagi. Lantas kakiku diatur menuju ke Petaling Street.

"Bang. Nak cd bang? Orang Putih ada. Melayu ada", itulah antara kata-kata yang diungkap kepadaku(anda harus faham apa cd nya). Lantas aku berlalu dan teringat kisah-kisah bahawa orang beriman ini lain wajahnya. Bercahaya. Sudah pastilah penjual-penjual cd itu tidak akan menawarkan cd-cd sebegitu kepada orang yang kelihatan wajahnya beriman. Tapi, ditawarkan kepadaku. Astaghfirullah. Penjual cd itu telah menyedarkan aku betapa aku semakin jauh dariNya.

Kakiku terus melangkah sambil mindaku berfikir. Akhirnya aku membeli sepasang cermin mata hitam. "Boleh digunakan di Langkawi nanti. Panas", ujarku. Aku terus melangkah menjelajah setiap ruang di Petaling Street. Tiba-tiba datang seorang hamba Allah berbicara lebih kurang begini, "Bang. Nak urut bang? Perempuan lawa-lawa.Cina ada Melayu ada". Kutolak dengan baik tawarannya namun mindaku terus berfikir akan perkara tadi.

Bosan. Sebosan kata-kata yang kutaip ini. Jam baru menunjukkan 8 malam. Aku membeli sebuah topi dan terus meninggalkan kawasan Petaling Street. Tidak sanggup rasanya berlamaan di situ. Hajat di hati ingin ke Mydin namun malangnya uncle Mydin sudah menutup operasinya. Buntu tidak tahu apa hendak dibuat aku melangkah ke Plaza Kota Raya(jika tidak silap). Habis kuronda tingkat demi tingkat hingga akhirnya aku menemui sebuah kafe siber. Melihatkan jam di tanganku masih awal, aku lantas membuat keputusan untuk menggunakan internet.

Sejam itu kugunakan membaca blog dan ber"yahoo messenger" dengan Zaim yang baru tamat peperiksaannya. Pelbagai isu kami bincangkan dari Bangsawan hinggalah kepada ekonomi dan politik negara. Setelah tamat masa yang ditetapkan, aku melangkah keluar. Kali ini tidak tahu hendak ke mana. Jam baru menunjukkan sekitar 9 malam.

Langkahku atur semula ke Puduraya. Menuju ke kedai buku yang kedudukannya agak terpencil. Sayang, kedai buku kegemaranku sudah pun tutup tapi kedai di hadapannya masih meneruskan operasi. Habis setiap buku kutelek untuk mencari buku idaman namun tidak juga ketemuan. Dek kerana kebosanan, akhirnya aku membeli juga sebuah buku mengenai Salehudin al-Ayubi.

Masih lagi kebosanan namun jam menunjukkan hampir pukul 1o. Aku lantas melangkah ke McD untuk mengalas perut bagi perjalanan panjang. Sebenarnya nak lepak lama-lama di McD. Boleh "refill" air secara percuma. Hidangan Spicy Chicken McDeluxe aku pesan. Setelah mendapat apa dihajatkan aku mengambil tempat duduk, membiarkan makanan yang terhidang sambil menghantar SMS dan bermain permainan di dalam telefon bimbit.

Akhirnya, aku kembali kebosanan lantas menjamah hidangan yang tersedia. Setelah habis makan, Zul menelefon bertanyakan kedudukanku dan mengatakan dia akan menyusul di situ. Aku menunggu dan terus menunggu hingga akhirnya Zul tiba bersama Pie dan Acap Rais. Setelah berlama-lamaan di situ, kami bersama melangkah ke Puduraya di mana Aman sudah menunggu di sana. Tidak lama kemudian, bell dan Oggy tiba.

Akhirnya masa yang ditunggu tiba. Bas Konsurtium menjadi pilihan Bell yang membeli tiket. Khabarnya dua tingkat namun nyata bas itu hanya setingkat. Sedikit kecewa Aman dan Bell kerana mereka beritu teringin menaiki bas dua tingkat. Tempat duduk kami pula berada di hadapan sekali. Nombor 1 hingga 7.

Sekitar jam 12, barulah bas mula bergerak walaupun berjanji untuk bergerak pada jam 1130 malam. Tak kisahlah. Janji gerak. Ternyata bas ini dipandu dengan begitu laju sekali kerana dalam beberapa minit sahaja kami sudah tiba di Tol Jalan Duta.

bersambung

PJU APIS 2008

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Setahun sudah berlalu sejak Program Jalinan Ukhwah yang pertama dijalankan pada Januari 2007. Tahun ini, dengan misi yang baru, wajah yang baru, dan harapan yang baru, Program Jalinan Ukhwah, atau lebih dikenali dengan PJU, akan menghidangkan pelbagai aktiviti dan pengisian yang menarik.

Jadi, tunggu apa lagi?

Dengan slogan yang baru, Kemantapan Ukhwah Pencetus Kegemilangan Ummah, program ini akan jadi menjadi padang permainan anda sepanjang cuti sekolah ini.

* * * * *
Tarikh: 19-21 Disember 2008

Peserta: Pelajar lepasan SBP dan pelajar semasa

Anjuran: Alumni Pelajar Islam SBP (APIS)

Tempat: Institut Latihan Dakwah Selangor (ILDAS)

[ Dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) | Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ]

pjubunga
* * * * *

RM 25 sahaja | Terhad untuk 150 peserta terawal sahaja

* * * * *

Sila serahkan nama sebelum atau selewat-lewatnya : 12 Disember 2008

Sebarang pertanyaan dan urusan pendaftaran boleh dirujuk kepada:
FAKHRUL HAZIM BiN AZMI : 013-3935958
SITI AISYAH BINTI IDRIS : 013-2997138

Pelbagai pengisian yang sangat menarik dan berguna bakal diberikan sepanjang program. Peluang untuk meluaskan kenalan daripada SBP lain, meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam khususnya kepada para lepasan SPM 2008.

Jangan lepaskan peluang ini.Berdaftarlah dengan segera !

Bantuan promosi.

Dicopy daripada: http://pju.apisbp.com/


Kepada sahabat-sahabat sekalian, sila hebohkan perkara ini kepada junior-junior anda. Biar setiap sekolah ada wakil. Ada SAS, ASIS, TKC, MCKK, SMAPK, SMAPL, SPBI yang pelbagai dan lain-lain lagi. Anda bertanggungjawab memastikan junior anda tahu tentang program ini!!!


Disclaimer : Saya bukan SBP

BERCUTI SEMINGGU

Pengumuman penting!

Blog ini tidak akan diupdate InsyaAllah hingga hari Sabtu. Ada apa-apa perkara penting sila sms atau call terus. Blog dan emel tidak akan dilayan. Sekian, terima kasih.

~LANGKAWI MOOD~

DAPAT AWARD!


Alhamdulillah. Dah lama dapat award ni sebenarnya. Tapi takde masa nak ditunjukkan kepada orang lain. Terima kasih kepada Kak Irah yang mengurniakan award ini kepada aku. Orang lain yang nak ambil award ni ambillah. Semua orang pon best blogger kan?

ENTAH APA TAJUKNYA

Entahlah. Betullah kot saya semakin liberal dalam pemikiran. Liberal dalam erti kata melihat dari semua aspek terlebih dahulu dalam menilai sesuatu perkara jika dibandingkan sebelum ini yang jika dilihat ia bertentangan dengan norma sejagat, terus dikatakan salah. (merujuk kepada kebiasaan dalam setiap proses kehidupan)

Pelbagai reaksi dan komen dibangkitkan berkaitan End of Sem Dinner. Sekadar secara umum, saya akan cuba menjelaskan keadaan berdasarkan pemikiran "liberal" dan atas kapasiti seorang yang melihat bukan seorang yang berjawatan.

Isu pemisahan tempat duduk antara lelaki dan perempuan. 11 tahun saya di sekolah agama.6 tahun pertama mungkin tidak signifikan untuk didiskusikan sebaliknya 5 tahun terakhir wajar diberi perhatian. Apa yang berlaku di sekolah-sekolah agama? Guru akan mengawal pelajar sepenuhnya. Perhubungan antara lelaki dan perempuan begitu terbatas. Pendidikan keagamaan usah cakaplah. Tapi, lihatlah hasilnya. Sistem kawalan ketika zaman persekolahan sekadar diaplikasikan pelajar ketika di dalam sekolah. Apabila di luar? Apabila habis zaman persekolahan? Cukuplah. Sedih untuk saya menyambung isu ini. (bukan semua yang dimaksudkan sebaliknya merujuk kepada pihak yang berkaitan semata-mata).

Lihat sejarah. Ok. Fine. Asingkan seperti majlis hari raya yang lepas (walaupun masih terdapat yang terlepas). Memang ketika majlis tiada apa-apa. Tapi selepasnya bagaimana? Adakah disebabkan pengasingan dijalankan maka selepas itu tiadalah yang lelaki sibuk bergambar dengan perempuan? Balik semula kepada realiti. Adakah mereka yang suka duduk bersama-sama ini mengasingkan diri mereka dalam amalan kehidupan mereka yang lain? Di kafe umpamanya. Entahlah. Saya melihat pengasingan ini hanya akan menghasilkan manusia munafik. Masa inilah sewajarnya masa yang sesuai digunakan untuk melihat "target group" unyuk diatasi masalah mereka. Tiada maknanya jika kita sekadar meluahkan kata menghina dan mencerca di dalam blog yang sama sekali tidak mereka baca sebaliknya tidak melakukan apa-apa di hadapan mereka untuk diatasi masalah ini.


Isu seterusnya. Aktiviti selepas berakhirnya acara. Kelihatan berlaku sedikit kesalahfahaman dalam isu ini. Benar seorang sahabat ada menghubungi saya dan ketika itu kami sedang sibuk berkemas. Jawapan yang diberi bukanlah atas nada serius sebaliknya bernadakan jenaka. Mungkin juga saya yang tersalah bicara. Tapi, mengapa tidak anda mengulas tentang tindakan yang diambil? Puan Halijah turun lebih awal ke tempat kejadian. Pak cik mak cik guard menjalankan rondaan "intensif". Setiap kelas di New Block dijelajah untuk mengesan apakah masih ada manusia yang berbaki. Jika benar itu kata yang diungkapkan oleh seorang pak guard, pasti ada lebih ramai "guards" yang menjalankan tugas mereka dengan dedikasi. Dan untuk pengetahuan anda juga, pihak pengurusan kolej telah menyusun jadual bertugas untuk guru-guru meronda pada malam tersebut. Dan, Puan Halijah dan Puan Rog "bersantai" di padang sambil "bermusafir" ke chalet-chalet sehingga jam 2 pagi bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.


Isu seterusnya. Persembahan. Tiada rehearsal penuh dijalankan sebenarnya. (merujuk kepada full dress rehearsal). Dan selepas berakhirnya majlis, pihak atasan kolej telah menegur kepada yang terlibat supaya menghormati kod etika pemakaian di masa yang mendatang. Dan memang, saya sendiri tidak menggemari sesetengah persembahan yang dipersembahkan. Sekali lagi, hak untuk memilih terletak di tangan masing-masing. Saya sendiri keluar berbual di luar dewan pada sesetengah persembahan yang saya rasakan tidak kena dengan jiwa.


Saya merasakan setiap insan yang bergelar muslim di kolej ini mempunyai asas agama yang baik ie ada ilmu. Saya cukup pasti paling rendah pun dapat Pendidikan Islam ialah B3. Namun soalnya di sini, kesedaran, pengaplikasian terhadap ilmu serta hidayah Allah. Hendak dikatakan tiada ilmu, tidak. Aplikasi atau tidak dan hidayah dari Allah sahaja yang menentukan. Sesuaikah prinsip kawalan dilaksanakan? Satu persoalan yang membingungkan dan pahit untuk dijawab berdasarkan pengalaman hidup saya dan rakan-rakan yang lain. Renung surah al-Jasiah ayat ke-23.


Apapun, terpulang kepada anda yang berkata adakah untuk terus berkata yang kata-kata itu tidak sampai kepada sasaran yang dituju atau "turun" berkata di hadapan masyarakat yang mungkin alpa dan lupa. Tak berani? Bukan tugas anda? Confirm tak berjaya? Pernahkah anda mencuba??? Tepuk dada tanya iman. Marilah kita memikirkan solusi atas isu ini. Bagaimana untuk didakwahkan golongan-golongan yang terlibat. Apa gunanya beribu dalil dikeluarkan ketika tazkirah asar dan subuh jika insan yang menjadi sasaran bicara tidak mendengar tazkirah yang disampaikan? Renungilah surah ali-imran ayat ke-159. Wallahua'lam.


Disclaimer : Pendapat peribadi penulis. Ditulis atas kapasiti penulis sebagai seorang pemerhati bukan atas mana-mana jawatan dunia.

JELAJAH SHEIKH YUSOF ESTES



Sheikh Yusof Estes, bekas menteri kristian dan seorang bekas mubaligh kristian, bakal berkunjung ke Malaysia pada hari Isnin ini! Terkenal dengan lawaknya dalam menyampaikan ceramah. Kepada yang berkesempatan, jangan lepaskan peluang yang menarik ini. Berikut senarai jelajah beliau. Untuk lebih info, lawat AL-NIDA'

+Challenges for Modern Muslims in Da'wah
Sunday, 23 Nov 2008 9am – 11am MBSA Shah Alam

+Reviving The Sunnah 8pm – 10pm Masjid Wilayah KL Multipurpose Hall

+The Truth About Muslims: All you wanted to know but were afraid to ask Monday, 24 Nov 2008 8pm – 10pm MBSA Hall, Bukit Jelutong

+Life: A Prison or Paradise? Tuesday, 25 Nov 2008 8pm – 10pm Masjid USJ 2, Subang Jaya

+Terrorism, Islam in The West
Wednesday, 26 Nov 2008 8.15pm – 10pm Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara, KL

+Pre-Khutbah Talk What Happened at Death According To Islam & Muslims? Friday, 28 Nov 2008 Before Friday Khutbah Masjid Negara

+Faith, Science & Common Sense Friday, 28 Nov 2008 8pm – 10pm Telekom Malaysia HQ, Multipurpose Hall

WINNING ELEVEN OPEN

Setelah tamat End of Sem Dinner malam semalam, aku dan Pie bergegas ke surau untuk bersolat. Tak lama kemudian, datang Yorke, Paklah, Hamdan dan Khalil. Setelah selesai bersolat, kami keluar untuk menyertai misi Puan Rog : "menyerang" individu-individu yang aktif menjalankan industri "perkapalan" (baca perkapelan). Sayang, hajat kami tak kesampaian dek kerana Puan Halijah dengan bantuan guard sudah pun menjalankan aktiviti pemusnahan kapal.

Melihat jam tanganku, hampir pukul 12. Arghh. Aku sudah terlewat. "Winning Eleven Open" sudah bermula. Aku lantas bergegas pulang ke chalet. Kelihatan chaletku sungguh meriah dan kecoh sekali dek kehadiran berbelas-belas umat manusia. Untuk pertandingan ini, aku digandingkan dengan Khairul Anuar diundi dalam Kumpulan A menggunakan pasukan England.

Sepak mula dimulakan. Dalam pusingan pertama, pasukan kami (England) bertemu dengan pasukan Jimmy dan Syakir (Itali kalau tak silap). Pihak penganjur menetapkan bahawa setiap pasukan haruslah mempunyai dua orang pemain di mana setiap pemain bermain dalam satu separuh masa. Anuar bermain dalam separuh masa pertama menggunakan keyboard yang bermakna aku harus bermain dalam separuh masa kedua menggunakan joystick.

Dalam separuh masa pertama, Anuar berjaya mendapatkan 1 gol. Sebaik sahaja separuh masa kedua dimulakan, keadaan mula kecoh lantaran ketakupayaan aku menggunakan joystick (tak pernah guna pun sebelum ini). Dalam masa 25 minit separuh masa kedua, Syakir berjaya menyumbat dua gol. Melihat situasi ini, Anuar terus pergi meninggalkan permainan kerana kecewa (dia nak pergi tengok movie sebenarnya). Pihak penganjur memberi kebenaran khas kepada aku untuk menggunakan keyboard semula dan akhirnya aku berjaya menyamakan kedudukan.

Dalam pusingan kedua, England bertemu Brazil yang dipimpin oleh Aisa dan Amir. Disebabkan aku kini berseorang, pihak penganjur membenarkan aku menggunakan keyboard sepenuhnya. Dan hasilnya, Owen berjaya melakukan hatrik untuk menundukkan Brazil 3-0.



Memasuki peringkat separuh akhir, keadaan semakin sukar. England bertemu Perancis pimpinan Jimmy (kalau tak silap dengan siapa entah seorang lagi, lupa) manakala Brazil pimpinan Aisa dan Amir berhadapan dengan Belanda pimpinan We dan Pejal. Separuh akhir dimulakan dengan perlawanan antara Belanda dengan Brazil. Perlawanan berlangsung sengit hingga akhirnya terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti di mana akhirnya Belanda berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Pertarunganku bermula. Sengit sungguh perlawanan ini. Cukup sukar untukku menembusi benteng pertahanan pasukan lawan ditambah pula pasukan lawan sudah berjaya membaca strategi yang aku gunakan. Akhirnya, pada minit ke 87, Beckham berjaya menanduk cantik hantaran silang Dyer lantas menempah tiket ke perlawanan akhir.



Ramai pihak tidak berpuas hati memandangkan aku, Pejal dan We dari chalet yang sama dan komputer pertandingan menggunakan komputer chalet kami namun aduan mereka tidak dilayan. Sekali lagi pihak penganjur menukar peraturan di mana peraturan asal kembali digunakan. Aku harus menggunakan keyboard dalam separuh masa pertama menentang Pejal yang menggunakan joystick dan menentang We dalam separuh masa kedua di mana kali ini aku pula harus menggunakan joystick.

Melihat kepada situasi ini, aku sedar bahawa aku harus menghasilkan sebanyak mungkin gol dalam separuh masa pertama dan bertahan dalam separuh masa kedua. Perlawanan dimulakan dan malangnya aku hanya mampu menghasilkan sebiji gol sahaja dalam separuh masa pertama dek keutuhan benteng pertahanan pasukan Belanda pimpinan Pejal. Separuh masa kedua dimulakan dan aku berusaha sedaya-upaya menggunakan joystick untuk menghabiskan masa. Namun, We akhirnya berjaya menghasilkan sebiji gol. Aku terus bertahan lantas berjaya membawa permainan ke masa tambahan. Kali ini, aku kembali menggunakan keyboard. Tanpa membuang masa, aku menggunakan strategi baru dan berjaya menghasilkan 3 gol berturut-turut dalam separuh masa pertama masa tambahan. Dalam separuh masa kedua, aku kembali menggunakan joystick dan berjaya mempertahankan kedudukan tersebut lantas dinobatkan selaku Johan Pertama kejohanan "Winning Eleven Open".

Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur iaitu Muiz dan Aiman Kedah yang bertungkus-lumus walaupun akhirnya pasukan mereka menduduki tangga terakhir. Khabarnya, mereka akan berlatih secara intensif untuk perlawanan pusingan seterusnya iaitu malam berakhirnya sem ke-4 ku. Tak ketinggalan, Amir Hasyim dan Student Council atas tajaan makanan yang begitu banyak hingga tak terjamah oleh keseluruhan pemain, IT Centre yang menaja komputer untuk perlawanan, chalet P8 yang menjadi lokasi pertandingan, Haq atas pinjaman joystick serta semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kejayaan program ini. Semoga program ini akan diteruskan pada hujung semester yang mendatang.

KECELARUAN FIKIRAN : EPILOG SILAM

"Ko ni sebelum exam tak tenang dengan exam. Time exam jiwa kacau. Lepas exam pun banyak masalah lagi ke?", luahan rasa seorang teman yang ditakdirkan Tuhan telah lama kami berhubungan walaupun tidak pernah bersua muka. Entahlah mengapa. Mungkin dek kerana disibukkan dengan urusan keduniaan lantas menjauhkanku dari Tuhan. Kesannya, ketaktenteraman jiwa!

Sering berlaku sesuatu urusan dilakukan atas nama Tuhan. Atas dasar dakwah untuk menegakkan akidah. Namun, sering juga berlaku pembiasan atau penyimpangan di mana matlamat asal Alhamdulillah dapat dicapai namun kesan dari matlamat yang telah berjaya dicapai itu gagal digapai seperti apa yang diimpikan.

Bagaimana perasaan anda membaca kata-kata di atas? Bercelaru? Entahlah. Jelas aku mengalami kecelaruan fikiran. Begitu banyak masalah dan perkara yang perlu aku selesaikan. Sesuatu yang di luar jangkaan menekan-nekan. Kembali aku teringan dan merenung lirik lagu ini. Cukup menyentuh perasaanku dan memberi kesan yang jitu kepadaku. Hayatilah :

Epilog Silam
Album : Erti Pengorbanan
Munsyid : Haikal
http://liriknasyid.com


Dalam mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku

Tuhan...Dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
Tuhan...Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal kuhindari

Tuhan...Dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak kutepati
Tuhan...Rahmat-Mu melangit luas
Terlalu sedikit kubersyukur

Kini kukembali pada-Mu
Mengharap maghfirah dari-Mu
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-Mu
Kerna kuyakin kasih-Mu
Kekal tiada sudahnya...

Lagu : SM Ibrahim
Lirik : SM Ibrahim
Gubahan : Haikal
Muzik : Ali Hj Yassin
O.P. : EW Music Publishing (M) Sdn Bhd
S.P. : BMG Music Publishing

AKHIRNYA IA BERAKHIR


Setelah sekian lamaku meminggirkan diri dari arena "blogging", akhirnya aku kembali. Menandakan tamat sudah peperiksaan AS yang menjadi igauan dan mimpi ngeri sebelum ia bermula. 

Komen mengenai peperiksaan? Entahlah. Aku bertawakkal sahajalah kepada Allah. Mudah-mudahan Dia memberikanku yang terbaik. Ada kertas yang aku jawab dengan yakin dan tidak kurang juga yang aku termenung panjang di dalam dewan peperiksaan memikirkan apakah yang disoal oleh penyoal soalan dari University of Cambridge itu.

Sepanjang musim peperiksaan ini, begitu banyak sekali peristiwa yang berlaku; peristiwa yang sedikit sebanyak memaksaku mengubah jadual(yang tak wujud pun) pembelajaranku. Skrip bangsawan terutamanya. Aku memikirkan untuk membuat dan menyudahkan skrip bangsawan semasa percutian tetapi malangnya pihak pengurusan bangsawan meminta draf skrip sebelum 10 november. Dan ketika itu aku hanya ada kurang dari sebluan tanpa sebarang idea untuk digarap menjadi skrip.

Mujur Allah sentiasa menolongku. Ilham datang mencurah-curah. Walaupun gaya bahasa penulisan klasikku sudah hilang lantaran peperiksaan SPM yang sudah lama berlalu, Allah menemukan aku dengan buku-buku yang dapat mengasah kembali gaya penulisanku. Ketika aku berhadapan kesukaran mengurus waktu dan mencerna idea, Allah menghantar kepadaku beberapa insan yang berjasa untuk membantuku menyiap serta menyudahkan skrip ini. Alhamdulillah. 

Entah bagaimana, aku ter"involve" dalam sukan bola tampar di sini. Mungkin kerana ketika di sekolah menengah dahulu itu antara permainan yang aku main ketika petang-petang di sekolah sebelum pulang. Aku akui, aku tidak pandai bermain bola tampar. Mungkin tiada bakat. Lantas, aku melantik diri aku sebagai pengurus pasukan bola tampar ketika KYUEM-KMS-KMB Sports Charity. Latihan intensif dijalankan setiap petang bagi menghadapi pertandingan ini. Namun, kami dikecewakan pada hari perlawanan dek ketakprofesionalan pengadil ketika itu di samping kelemahan stamina.

Jika KYUEM-KMS-KMB Sports Charity berlangsung ketika aku baru memulakan peperiksaan, Jemputan Kolej Matrikulasi Perak pula berlangsung ketika aku hampir menamatkan peperiksaan. Ketika itu, ada dua lagi kertas berbaki. Untuk pengetahuan semua, Matrik Gopeng merupakan Johan KAKUM(Karnival Kolej Matrikulasi) bagi sukan bola tampar. Dengan persiapan yang sungguh tidak memuaskan atas beberapa faktor, kami pergi ke Gopeng atas semangat kesukanan dan juga kecuakan.



Kami berhadapan dengan pasukan matrik Gopeng yang turut dibarisi oleh jurulatih mereka. Alhamdulillah, pertarungan lima set akhirnya memberi kejayaan buat kami sekaligus mengubat luka buat pasukan bola jaring dan badminton yang teruk dibelasah matrik Gopeng.




Cuti sudah semakin menghampiri. Perjalanan percutian sudah dirancang. InsyaAllah jika tiada aral melintang, masa percutian ini akanku manfaatkan sebaiknya bagi mengulangkaji semula silibus A2 ku yang kuabaikan dek kerana menumpukan AS. Mudah-mudahan aku mendapat keputusna yang baik untuk AS agar tidak perlu untuk aku mengulang semula peperiksaan AS ku di bulan Mei dan Jun beserta dengan peperiksaan A2.