BAKTI KENYALANG DAY 1



“Arghh. Apehal pulak ni. Pukul 3 pagi dah bising-bising ni. Orang nak tido la,”itulah antara dialog yang berkumandang pada pagi 2 Disember. Maklumlah, bas ke LCCT akan bertolak pada pukul 3.30 pagi.

Setelah siap mengemas beg, semua bergerak ke Guard House. Barang-barang dimuatkan ke dalam bas dan jumlah peserta dikira. Setelah semua mencukupi, bermulalah perjalanan ke LCCT. Namun, perjalanan tidak sepi kerana diselangi dengan bunyi dengkuran yang berirama.

Setibanya di LCCT, Iqtidar mengumumkan kita telah terlambat. Semua pihak berganding bahu menolong pasukan Flight pertama. Agak kelam-kabut juga di permulaan memandangkan jumlah manusia yang agak ramai di LCCT walaupon jam baru menjengah 5.30 pagi.

Setelah Flight pertama berlepas, flight yang lain agak santai memandangkan waktu penerbangan yang masih lewat. Setelah beberapa jam menunggu, akhirnya pasukanku(Flight 4) bertolak ke Kuching menaiki pesawat Airbus330. Perjalanan sungguh menarik memandangkan hamper semua ahli pasukanku berjaya mendapat tempat duduk di tepi tingkap. Melihat kebesaran alam ciptaan Tuhan, kami semua terpaku. Terasa betapa agungNya.

Kuching menyambut kami dengan tangisan gembira. Memandangkan kami flight yang terakhir, agak kelam kabut juga. Setelah beg dihantar ke bas, kami lantas menunaikan solat dan menjamu selera.

Perjalanan ke destinasi yang dicita bermula. Kg. Spaoh. Perjalanan yang mengambil masa selama 5 jam dari bandaraya Kuching. Sepanjang perjalanan seperti biasa ramai yang mengambil peluang melepaskan penat dan lelah dengan tidur. Setibanya di Kg. Spaoh, Isya’ sudah menjelang.

Memandangkan kami tiba lebih awal dari jangkaan(sekitar 7.30 malam-jangkaan 8.00 malam), orang-orang kampong masih belum tiba di dewan SK Spaoh. Tepat jam 8.00 malam, bermulalah majlis penyerahan anak angkat.

Tidak ramai keluarga angkat yang mengambil anak angkat memandangkan musim cuti persekolahan. Maka, ramailah di antara mereka yang pergi ke rumah anak-anak di Bandar dan tidak kurang juga rumah-rumah yang dipenuhi anak-anak dan cucu-cucu yang pulang bercuti. Sekitar 30 keluarga angkat rasanya. Justeru, kami dibahagikan.

Akhirnya, aku, Sayed dan Safwan mendapat keluarga angkat. Pada mulanya kami sangkakan keluarga angkat kami tidak mengambil lagi anak angkat. Rupanya, “emak” kami kasihan dengan jumlah anak angkat yang belum terangkat lantas mengambil lagi 3 orang anak angkat(sebelum tu dah ambil 3 orang anak perempuan). Lantas, keluarga kami menjadi antara keluarga terbesar dengan 3 orang lelaki dan 3 orang perempuan yang “diangkat”.

Setibanya di rumah, kami berkenal-kenalan dengan seluruh ahli keluarga.(yang perempuan tu walaupun sama kolej tapi kami pon tak kenal). Di samping kami, rumah itu terdiri daripada 2 orang adik lelaki dan seorang kakak.(Hazwan, Din dan Kak Norli)

Setelah itu, kami menjamu selera dan setelah selesai mengemas, kami mandi, bersolat dan tidur. Alhamdulillah, selesa rumah kami.

0 Responses