KEMBARA LANGKAWI - PART 4

Subuh terakhir di bumi Langkawi. Harapan untuk bersolat subuh dan mendengar tazkirah di masjid tinggal harapan. Setelah menunaikan solat subuh dan mandi, kami segera mengemas segala beg untuk meninggalkan Pulau Lagenda. Kelihatan Pie dengan beberapa beg, Acap Rais yang cuma 1 beg dan aku dengan 2 beg dan 1 beg plastik.

Destinasi pagi ini ialah Dataran Lang. Beratus gambar diambil sementara menunggu kehadiran peserta perempuan. Akhirnya mereka tiba dan sesi penggambaran diteruskan. Masa semakin mencemburui. Kami lantas bergerak pantas menuju ke jeti. Membeli tiket feri ke Kuala Perlis jam 9 pagi. Tinggal kami bertujuh meneruskan kembara kerana Bandung, Syahira Mat dan J-Lo menaiki kapal terbang pada keesokannya manakala Farhan dan Farah Hazwani menaiki feri ke Kuala Kedah.

Terlepas dari pemeriksaan kastam. Itupun setelah mendengar lawak-lawak saintifik dari pak cik Kastam. Akhirnya kami menaiki feri menuju ke destinasi kami yang seterusnya, Kuala Perlis.

Perjalanan sekitar satu jam. Tidak ada apa yang menarik berlaku memandangkan kami semua nyenyak tidur sepanjang satu jam perjalanan. Letih barangkali. Kami akhirnya tiba di Jeti Kuala Perlis. Akhirnya terjejak jua kakiku di bumi Perlis. Memandangkan tidak sempat bersarapan gara-gara terlalu asyik mengambil gambar, kami memutuskan untuk bersarapan dahulu di kedai berhampiran. Saat melangkah, aku hairan. Mereka terus berjalan ke hadapan sedangkan restoran sudah pun berlalu.

Rupa-rupanya menuju ke Pusat Khidmat Perlancongan. Ada ke patut. Tanya orang kedai makan dah la weh!! Akhirnya kami menuju semula ke kedai makan. Enak juga hidangan yang disediakan. Nasi lemak berlauk menjadi pilihanku. Setelah semua siap bersarapan, aku dan Pie bergerak terlebih dahulu ke stesyen teksi. Meninjau harga yang ditawarkan.

Kangar RM28. Padang Besar RM40. Harga untuk sebuah teksi. Melihatkan kelibat bas yang tidak muncul tiba, kami akhirnya membuat keputusan menaiki teksi. Persoalannya, ke Kangar atau ke Padang Besar terus? Akhirnya, segala tunjuk ajar Amie selama ini menjadi sia-sia. Amie mengajar kami menaiki bas Maraliner kemudian turun di stesen bas sebelah The Store sebelum menaiki bas lain ke Padang Besar. Segalanya berubah lantaran kami mengambil teksi terus ke Padang Besar. 2 buah teksi diambil memandangkan kami bertujuh. Aku, Zul, Pie dan Aman dalam satu teksi manakala Acap rais, Bell dan Oggy dalam teksi yang lain.

Indah sungguh bumi Perlis ini. Sungguh. Sungguh indah dan damai. Aku dan Pie terus jatuh cinta kepada orang Perlis. Perjalanan agak jauh juga. Sekitar 50 minit. Tapi, tambangnya hanya RM40. Cuba bandingkan dengan tambang dari Lembah Beringin ke Tanjung Malim. RM25 tapi perjalanannya tidaklah sejauh mana. Sepanjang perjalanan, banyak sungguh pemandangan menarik dilihat. Sawah padi yang terbentang luas. Gua batu kapur. Aaah. Segalanya mendamaikan. Terjumpa juga Empangan Timah Tasoh yang dipelajari ketika PMR dulu.

Akhirnya kami tiba di Padang Besar. Duit dalam dompetku ketika itu hanya sekitar RM100++. Takpela. InsyaAllah cukup, ujarku. Memandangkan kami membawa begitu banyak sekali beg legasi dari Langkawi, maka beg-beg itu harus ditinggalkan di satu tempat. Dipujuk 2 orang makcik kedai untuk tolong menjaga beg kami namun mereka menolak. Bukan kerana apa. Bimbang takut terjadi apa-apa.

Akhirnya, seorang budak yang menjaga kedai sudi menjaga beg kami. Wajahnya suci. Bersih dari noda. Min namanya(bukan Akmin). Setelah meninggalkan barangan, kami lantas menyusun langkah. Masuk sahaja ke dalam Bazaar, waaah, itulah kata-kata yang diungkap. Kami berpecah. Aku menemui sebuah kedai menjual pakaian. Aku menghubungi Pie untuk membantuku memilih. Akhirnya, aku memborong pakaian di situ. Sekitar RM175. Agak murah. Terpaksa aku meminjam duit dari Pie memandangkan wangku tidak mencukupi.

Kami mengambil keputusan untuk ke bank bagi mengeluarkan duit. Ternyata, masih banyak barangan yang belum dan perlu dibeli. Agak jauh perjalanan ke bank itu. Kenapalah tidak dibuat sahaja mesin ATM di dalam bazar?

Setelah itu, kami berhimpun seketika bagi membincangkan perancangan seterusnya. Mengikut perancangan asal, kami harus bergerak ke Kangar pada pukul dua petang. Namun, akhirnya semua bersetuju untuk meneruskan pembeli-belahan dan terus bergerak ke stesen keretapi Arau jam 3.30 petang.

Aku dan Pie pergi ke surau bazaar Padang Besar untuk menunaikan solat. Terletak di ceruk bangunan. Ada satu pintu. Kami melangkah. Terkejut monyet kami melihatkan seorang muslimat sedang berwuduk. Mungkin tersalah pintu. Ada pintu yang lain. Hmmm. Tiada. Itulah satu-satu pintunya. Dan tempat wuduknya dikongsi bersama muslimin dan muslimat. Kami melangkah ke ruang solat yang sempit sementara menantikan muslimat tadi selesai berwuduk.

Selesai bersolat, kami meneruskan proses membeli-belah. Pie bercadang membeli topi dan jersi untuk abangnya pula manakala aku bercadang mencari seluar trek. 3 helai seluar yang berkualiti untuk RM 69. Agak murah juga. Perjalanan diteruskan dan kami membeli beberapa bahan makanan untuk dibawa pulang. 3kg emping beras kubeli.

Setelah itu, aku dan Pie bergerak ke kedai makan. Aku menempah Nasi goreng pattaya manakala Pie nasi goreng kampung. Setelah beberapa ketika, kami menyesal kerana tidak menempah nasi goreng paprik. Pasti kaaaaw! Melihatkan meja di sebelah mendapat hidangan tomyam yang sungguh menyelerakan, kami turut menmpahnya.

Makan dengan sungguh berselera. Sungguh. Sungguh sedap. Membuatkan hati kami semakin terpaut dengan orang Perlis. Akhirnya kami selesai menjamu selera dan ketika itu tepat 3.3o petang. Kami kembali semula ke Kedai Min untuk menyusun strategi seterusnya. Pie dan Acap Rais ditugaskan memanggil teksi datang ke tempat kami. Aku membeli sepasang selipar di kedai Min memandangkan seliparku sudah putus sementara menanti pemergian mereka.

Harga teksi ke Arau. RM20. Sekali lagi lebih murah berbanding Lembah beringin ke Tanjung Malim. Kami sekali lagi disajikan pemandangan yang menarik. Kalau tadi sawah padi yang terbentang luas, kali ini ladang tebu yang menghampar. Maklumlah. Kawasan Chuping. Tempat penanaman tebu dan juga pusat pengeluaran gula. Owh. Sekali lagi geografi PMR.

Melalui masjid negeri dan Istana Perlis. Tempat yang ingin sangat Zul kunjungi untuk mengambil gambar. Akhirnya kami tiba di stesen kereta apai Arau. Ternyata masjid negeri hanyalah bersebelahan dengannya. "Buat penat je susah-susah ambil gambar dalam teksi tadi", ujar Zul. Kami pun turun dan memunggah segala barangan.

Sudah agak panjang entri ini. Cerita selepas ini lebih menarik. Pengalaman menaiki kereta api antarabangsa. Bersambung...
0 Responses