KEMBARA LANGKAWI - PART 3

Sebelum matahari terbit, semua sudah bangkit dari lena. Maklumlah. Semua teruja untuk menuju ke destinasi yang dijatuhkan hukuman wajib oleh Aman untuk dikunjungi iaitu Cable Car. "First thing in the morning", ujar Aman. Selesai bersolat subuh dan mandi, kami keluar. mencari dan mencari di mana hendak bersarapan akhirnya kami membeli sarapan kami berhampiran dengan Hotel Bayview (hampir je. bukan restoran dalam hotel). Hajat di hati ingin bersarapan di kerusi-kerusi berhampiran namun sayang tiada paip air lantas kami meneruskan perjalanan ke Air Terjun Lubuk Semilang. Bukan untuk mandi. Sebaliknya untuk bersarapan dan menunggu Bandung di sana.

Setibanya di sana, kami menghubungi Bandung. Beliau mengatakan bahawasanya mereka belum siap lagi. "Tengah siang ikan untuk malam ini", ujar Bandung. Kami turun ke kawasan air terjun. Deras dan nyaman sekali deruan air. Setelah siap bersarapan, masing-masing merenung masa depan di situ.

Nak dijadikan cerita, Farhan cuba melompat dari satu batu ke satu batu namun ditegur oleh Aman yang mengatakan padan muka jika terjatuh. Apa yang menarik, Zul(bukan nama sebenar) tiba-tiba datang dan turut melompat. "Zulllll!!!", jerit kami semua. Tapi, sayang seribu kali sayang. Zul sudah pun terjun ke dalam air dengan kasutnya, seluar jeansnya dan bajunya. Kami mengambil kesempatan mentertawakan beliau yang degil tidak mendengar nasihat yang diberikan.

Kami menunggu dan terus menunggu. Akhirnya kami membuat keputusan mencari rumah Bandung. Setelah beberapa kali berpusing di tempat yang sama, kami menemui rumah Bandung. "Waaaah", sekali lagi reaksi kami sama. Tidak berubah. Kami melepak di rumah beliau menantikan perempuan-perempuan yang masih seronok menyiang ikan. Pie melihat set home theatre yang menarik lantas memasang DVD Saw. Dan aku yang kebosanan menyertai beliau.

Akhirnya semua sudah bersedia untuk bergerak. "Cable car. Here we come", jerit Zul. Perjalanan ke sana agak jauh juga. Akhirnya kami tiba. Menunggu di tempat pembelian tiket. Buka pukul 10 katanya. Menanti dan terus menanti. Tak buka-buka. Melihat banner di atas kepala. "Towards ISO....". Begini agaknya cara mencapai ISO. Akhirnya kami bosan menunggu dan mendapat perkhabaran bahawa ia hanya akan berfungsi di waktu tengah hari.

Tidak membuang masa, kami meneruskan perjalanan ke tempat lain pula. Pantai Cenang dituju. Pantai yang dikatakan oleh Haq sebagai syurganya. Jauh juga perjalanan ke sini. Sampai di sana, kami turun ke pantai. Terkejut beruk kami melihat pemandangan yang ditawarkan. "Patutlah Haq cakap ini syurganya", ujar Pie. Di sinilah latihan pandangan dijalankan. Sungguh. Kami terpaksa mengawal pandangan. Setelah bersiap, aku, Pie, Zul dan Acap Rais turun ke laut. Yang lain tidak mahu. Tiada baju alasannya. (Akhirnya turun juga mereka ini)

Setelah lama bermandi-manda, kami bersiap dan meneruskan semula perjalanan ke Cable Car. "Wajib pergi ni", ujar Aman. Pie pun mulalah mengeluarkan fatwa bahawa haram mewajibkan sesuatu yang tak. Lalu Aman bertaubat dan menukar hukumnya kepada harus.

Akhirnya kami tiba di Cable Car. Berfungsi!. tapi, begitu ramai sekali umat manusia sedang beratur bagi menaikinya. Tiada pilihan, terpaksalah kami beratur. Harga tiket RM15 menggunakan Mykad. 45 minit beratur dek ketakefisyenan pengurusan kereta kabel itu. Aku, Pie, Acap Rais, Zul, J-Lo dan Syahira Mat dalam satu gondola. Wajah pucat J-Lo dan Syahira kelihatan sedangkan kami bergembira. Gondola naik melaju. Kami gembira sedangkan mereka berdua terus-terusan menutup mata. Seronok kami mengenakan mereka. Sambil naik, kami melihat keindahan alam. Subhanallah. Cantik. Sungguh cantik. Tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.

Akhirnya kami tiba di hentian pertama. Perjalanan yang pendek bagi kami sebaliknya panjang bagi J-Lo dan Syahira Mat. Mereka berdua sudah serik. Mahu turun pada saat itu juga. Bukan turun dengan gondola sebaliknya menuruni bukit. Akhirnya kami berjaya memaksa mereka berdua menuju ke hentian kedua. Lebih tinggi. Di situ terdapat jambatan merentas gunung. Hanya J-Lo yang pergi bersama kami. Ternyata walaupun jambatan itu kelihatan kukuh, ia bergoyang dek kencangnya angin menggoncang. Pemandangan di situ lebih menarik. Subhanallah. terkesima kami semua. Indah sungguh alam ciptaan Allah.

Setelah itu, kami menuju ke puncak Gunung Machincang. Juga, sekali lagi. Pemandangan yang sungguh menarik. Subhanallah. Angin bertiup kencang. Nyaman. Umpama di Cameron Highland. Setelah lama di situ mengambil gambar yang beribu jumlahnya, kami turun. menaiki gondola yang bagaikan roller coaster. Sungguh menarik perjalanan turun ini. Seronok. Seperti biasa, mereka berdua ketakutan. Kali ini ketakutan yang amat sangat. Memang agak menyeramkan perjalanan turun ini. Tapi, seronok!

Akhirnya kami tiba di bawah. Aku dan Zul lantas pergi menunaikan solat. Menanti satu lagi kumpulan yang tidak turun-turun. Setelah itu kami bergerak pulang. Singgah sebentar di Stesyen Petronas yang sangat cantik. Ada hotel, KFC dan pelbagai lagi di situ. Tempat hentian kapal layar. Kami solat dan menikmati hidangan ringkas di KFC kerana perut masing-masing sudah berkeroncong.

Bertolak pulang ke apartmen. Berjanji untuk bertolak ke rumah bandung sebelum maghrib menjelang. Dalam perjalanan pulang, kami menemui kilang gamat. Pie yang memandu laju umpama mafia Seremban ketika itu lantas membuat pusingan u-turn menuju ke kilang yang dimaksudkan. Sekali lagi proses borong-memborong dijalankan.

Sampai di apartmen sekitar 6.50 petang. "Sah tak sempat nak keluar sebelum maghrib. Dah nak maghrib pon ni," ujar Aman. Kami mandi, bersolat dan dengan segera keluar semula. Menuju ke Rumah Bandung untuk barbeku.

Pie yang diberi tugas memandu memecut umpama mafia Seremban. Dan tidak lama kemudian, kami tiba dengan selamatnya di Rumah Bandung. Tanpa membuang masa, kami terus menyediakan tempat membakar. Semua bekerjasama dan akhirnya operasi pem"barbeku"an dimulakan sekitar 9 malam. 3 ekor ayam, pelbagai jenis ikan, udang-udang yang sungguh besar dan segar, kek dan juga bebola ikan dibakar. Akhirnya, proses pem"barbeku"an siap sekitar 10 malam.

Kami makan di atas rumput di padang rumah Bandung. Sungguh menarik suasananya. Pelbagai hidangan disediakan. termasuklah Nasi Goreng farah Hazwani dan juga buah-buahan yang pelbagai. Kami makan dengan sungguh berselera malam itu. Turut serta, ayah Bandung dan juga kawan Farah Hazwani iaitu Faiz yang raut wajahnya seakan Juek jika dipandang sebelah mata.

Selesai melantak, kami mengemas segala kemusnahan yang telah berlaku. Aku mengambil tugas mencuci pinggan sementara yang lain mengemas. Hampir 15 minit juga diambil untuk mencuci timbunan pinggan-mangkuk itu. Setelah segalanya selesai, kami (yang lelakila) meminta izin pulang.

Namun, kami tidak pulang terus. Sebaliknya, kami meneruskan perjalanan meronda pulau. Akhirnya bertemu juga dengan sekolah yang melahirkan pelajar seperti Haq iaitu MRSM Langkawi. Setelah mengambil gambar, kami meneruskan perjalanan ke Galeri Perdana. ketika itu hanya aku, Pie, Aman dan Baku yang terjaga. Yang lain lena dibuai mimpi.

Ketika perjalanan, terlihat sebuah masjid yang dipenuhi mat-mat rempit. Jam menunjukkan pukul 11 ketika itu. menarik sungguh mat-mat rempit di Langkawi ini. merempit di masjid. Sungguhku terpegun. Akhirnya, kami tiba juga di Galeri Perdana. galeri yang menempatkan hadiah-hadiah yang diterima Tun Mahathir sepanjang kerjanya sebagai seorang Perdana Menteri. Sudah tentulah ia sudah ditutup. Kami sekadar mengambil gambar di luar bangunan sehaja sebelum meneruskan perjalanan pulang ke apartmen Bandung.

Bersambung...
2 Responses
  1. Haq Mohaidin Says:

    so, syurga ke x pantai cenang?hehe.br ko taw nikmat dunia.gile x beriman ah ayat

    melahirkan pelajar spt haq.. ape maksud kau??? haha


  2. ad Says:

    astaghfirullahalazaim. aku x biasa seperti ko haq.

    melahirkan pelajar spt kau? kau harus lebih paham.hahaha