KEMBARA LANGKAWI - PART 6

Akhirnya tiba juga di stesen KL Sentral. Kami yang sebelum ini terpisah jauh berkumpul semula di hadapan 7-eleven. Kami membuat keputusan untuk bersarapan. Acap Raiz begitu bersemangat mengajak kami ke Mcd. Layan jela. Tidak ada hidangan yang menarik pun di McD ni sewaktu pagi. Hidangan breakfastnya kurang menyelerakan (melainkan Hash Brown yang sedap).

Setelah bersarapan, kami berpisah ke destinasi masing-masing. Pie membuat keputusan untuk pulang ke rumah terus dan tidak ke Masjid Negara. Tinggallah aku berseorangan. Setelah meletakkan barang di tempat simpanan barang yang mahal, aku bercadang untuk mandi. Sekadar menyegarkan badan.

Menuju ke shower room yang disediakan pihak KTM. Terkesima lagi. Berpatah semula. RM5 untuk mandi sahaja? Kalau seringgit bolehlah lagi nak terima. RM5 sorry la. Aku lantas menuju ke tandas sahaja. Jimat RM5.

Selepas sedikit segar, aku melihatkan jam. Masih awal. Hadi berjanji untuk tiba sekitar jam 10. Lantas ke kedai buku berhampiran. Wang yang ada tidak mengizinkanku berbelanja lebih. Sekadar membeli akhbar The Star. membaca dari kulit ke kulit. Habis semua. Bosan. Terus menanti. Aku ke kedai berhampiran membeli air. 100 Plus. Tinnya tiada tanda harga. Ketika membayar terkejut monyet aku. RM1.90 untuk setin 100 Plus. Baik minum kat McD. At least boleh refill. Tapi, nak buat macam mana. Dah bayar. Layan jela.

Kembali semula ke kedai buku. Terlihat akhbar Harakah. Layan jela sementara menunggu Hadi ni. Habis separuh aku baca dan Hadi pon tiba. Hadi yang duduk bersebelahan denganku ketika Tingkatan 5. Ketika ini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya. Disebabkan Hadi baru sahaja bangun dari tidur, dia mengalami satu penyakit yang dinamakan kelaparan. Kami lantas menuju ke KFC yang baru memulakan urusniaganya.

Selesai makan, kami terus menuju ke Masjid Negara. Sudah bertahun tidak kujejak masjid ini. Hampir sedekad rasanya. Alhamdulillah. Kami tiba agak awal. Sekitar jam 12. Menanti dan terus menanti. Akhirnya muncul apa yang dinanti. Syeikh Yusuf Estes. Alhamdulillah. Dapat jua aku bertemu dengan beliau secara "live".

Sedikit kecewa dengan sistem penataan bunyi di Masjid Negara. Terlalu berdengung dan bergema. Hingga kurang jelas butir-butir kata yang diungkap. Semua hadirin duduk rapat-rapat agar dapat mendengar apa yang dikata.

Alhamdulillah tazkirah selesai sebelum azan. Sebelum azan dilaungkan, kelihatan Pak Lah(PM) tiba untuk menunaikan solat jumaat. Selesai solat, aku dan Hadi meronda gerai-gerai di sekitar Masjid Negara. Umpama pasar malam. Bukan lelaki yang beragama islam sahaja yang ada di situ sebaliknya turut terdapat masyarakat india dan juga wanita yang menjual barangan yang pelbagai.

Kami meneruskan perjalanan ke Pasar Seni. Sekadar mengisi masa lapang sementara menunggu masa untuk basku bertolak. 4.30 petang yang masih lama. Meronda dan terus meronda. Sudah hampir sedekad juga aku tak ke sini. Banyak juga barang dagangan yang diniagakan. Ya. Atas nama seni.

Setelah puas meronda, kami ke Kl Sentral semula untuk mengambil barangku. Hadi berkeras untuk turut sama ke Puduraya. Balik rumah pun tiada apa nak dibuat ujarnya. Tergamam seketika apabila dia melihat baranganku memikirkan bagaimana aku membawa barangan-barangan ini dari Padang Besar. Akhirnya, kami bergerak bersama ke Puduraya dan dengan bantuan Hadi alhamdulillah bebanku menjadi ringan.

Kami tiba di Puduraya. Hadi berkeras untuk menunggu sehingga aku berlepas. Melihatkan langit yang kian kelabu di luar, aku menyuruh balik sahaja tanpa perlu menungguku. Bimbang sukar untuknya bergerak pulang kemudian. Akhirnya, kami berpisah dengan janji untuk bertemu lagi. Aku meneruskan pembacaanku sehingga tiba waktunya dan akhirnya aku pulang.

Tammmmmat...
0 Responses